Thursday, June 20, 2024

TIDAK SAHIH BINATANG KORBAN MENJADI TUNGGANGAN DI TITIAN AL-SIRAT

Assalamualaikum.


Tidak sahih binatang korban menjadi tunggangan orang yang melakukan ibadah korban, iaitu  semasa melalui titian sirat di akhirat kelak. 


Riwayat yang menyebut tentang hal itu bertaraf ضعيف جدا -daif jiddan (sangat lemah), dan ada juga yang موضوع -palsu. Kedua-dua kategori hadith ini, sebagaimana yang telah kita pelajari dalam kuliah online dan offline sebelum ini, tidak digunakan oleh para ulama’ sebagai dalil dalam agama. 



Hadith daif jiddan itu bunyinya :


”استفرهوا ضحاياكم فإنها مطاياكم على الصراط” 


Manakala hadith palsu itu pula bunyinya :


 “عظموا /أسمنوا ضحاياكم فإنها على الصراط مطاياكم”


Kepelbagaian cara dan kadar kelajuan serta suluhan di atas titian al-sirat telah diterangkan dalam hadith-hadith sahih yang lain yang menjadi penjelas kepada ayat al-Quran yang menyebutnya. Akan dipelajari dalam kuliah akidah, in syaa Allah. Belilah kitabnya dan sama-sama kita telaah nanti. Kitab yang kita pilih adalah kitab yang telah disaring daripada hadith yang tidak sahih, maka ia akan menerbitkan pegangan dan fahaman yang sahih dan jernih. 


Alhamdulillah, dalam fikiran sejak sekian lama, tiada kaitan antara ibadah korban yang dilakukan dengan binatang tunggangan semasa meniti titian al-sirat. Tidak terbayang dalam minda mana-mana tunggangan semasa meniti di titian al-sirat. Kita memahami bahawa melakukan ibadah korban adalah amalan soleh kerana Allah perintahkan. Sama seperti konsep sedekah, jika lebih elok, lebih sihat dan lebih besar binatang korban maka tentulah lebih banyak pahala di sisi Allah, tetapi bukan kerana kita hendak menunggang binatang korban yang besar itu di akhirat kelak!


Ini kerana riwayat sangat daif dan lafaz yang tiada asal begitu tiada dalam sukatan pengajian dan hal itu tidak pula ditekankan kepada pelajar.


Berbeza dengan orang yang sudah sejak turun temurun menghadamnya dan apa yang tidak sahih itu tersimpan kemas dalam mindanya.


Apatah lagi jika perkara ini disebut oleh orang dewasa kepada anak-anak kecil, itulah yang tertanam sehingga mereka dewasa.


Apabila diberitahu tidak sahih, mereka tentu agak terkejut dan mengambil masa untuk menjernihkannya. Sebahagiannya menjadi defensif dan tidak boleh menerima.


Itulah antara contoh kesan penyebaran hadith yang daif jika tidak dijelaskan syarat dan disiplinnya, kesan penyebaran hadith daif jiddan dan kesan penyebaran hadith palsu kepada umat Islam. Ia bukan sahaja masuk dalam kitab, tetapi membentuk fahaman dan pegangan, yang tentunya mengambil masa untuk dijernihkan. Lebih menyedihkan apabila hadith yang tidak sahih itu dihuraikan lagi dengan pelbagai huraian, menghasilkan dakwaan yang pelik, mengejutkan lagi tiada asas, umpamanya gesaan supaya menyembelih ayam bahkan ikan jika tidak mampu!


Inilah sebab mengapa para ulama’ bermujahadah untuk menyusun kitab yang menghimpunkan hadith-hadith palsu (dan juga yang lemah) yang tersebar dalam masyarakat. Sebahagian mereka bermujahadah untuk memberikan ulasan tentang status hadith-hadith dalam kitab-kitab popular tertentu. Sebahagian lagi memberikan peringatan bahaya menyandarkan sesuatu yang tidak pasti kepada Nabi Muhammad saw. Allah swt memelihara al-Quran dan al-Hadith sebagai penjelas kepada al-Quran melalui disiplin ilmu wahyu. 



Hidayah sentiasa hadir dalam hidup kita dalam pelbagai bentuk, secara bertahap-tahap. Kita diperintahkan supaya sentiasa memohon hidayah dan memohon agar ditetapkan di atas jalan hidayah itu. 


Ilmu yang bermanfaat adalah salah satu bentuk hidayah yang paling asas.


اللهم إنا نسألك علما نافعا

اللهم إنا نعوذبك من علم لا ينفع

اللهم اهدنا وسددنا

DNH

Rabu 

12 Zulhijjah 1445H


P/S :


Hadith-hadith yang tidak sahih tentang Qurban ada banyak, dan sudah banyak juga penulisan yang menerangkannya dalam pelbagai bahasa. Antaranya di sini :


https://islamonline.net/أحاديث-غير-صحيحة-عن-الأضحية/

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons