Saturday, September 16, 2023

KEPALSUAN HADITH TENTANG MAWLID

 Assalamualaikum.


📌Semua riwayat dan hadith-hadith tentang sambutan dan kelebihan mawlid adalah HADITH PALSU. Kita mengulanginya setiap tahun sama ada disukai orang ataupun tidak.


📌Tadabbur al-Quran setiap hari dan mempelajari hadith-hadith tinggalan baginda saw jauh utama dan penting berbanding menyambut mawlid yang tidak disyariatkan. Tidak perlu mengadakan majlis mawlid untuk menghidupkan majlis ilmu, kerana majlis ilmu zaman para sahabat dan tabi’in berlangsung berterusan tanpa majlis demikian. Majlis ilmu yang sahih subur dan menyuburkan iman dan taqwa dalam jiwa jutaan manusia di seluruh dunia, tanpa perlu kepada majlis mawlid.


📌Agama kita yang sumbernya wahyu ada cara tersendiri untuk menyatakan kecintaan terhadap rasul. Tidak perlu mengikut budaya dan agama lain yang sudah bercampur aduk pemikirannya.


📌Sayang seribu kali sayang, jika mawlid yang datang daripada hadith palsu dibesarkan, sedangkan hadith yang sahih masih begitu banyak terabai dan tidak difahami.


📌Hadith palsu bukan lagi tersebar nasnya, namun diamalkan secara praktikal, seolah-olah itulah anjuran agama. 


📌Majlis ilmu al-Quran dan al-Hadith yang sahih tidak begitu diminati dengan dakwaan susah dan menjemukan, namun mengapa mudah pula menghafaz syair dan qasidah yang panjang-panjang, tidak pula difahami maknanya, padahal ia bukanlah nas wahyu?

 

📌Solat jemaah di masjid di mana-mana hanya satu dua saf sahaja, padahal itulah sunnah sebenar yang mesti dihidupkan setiap hari, berbanding menyambut mawlid tahunan, mawlid bulanan mahupun mawlid mingguan yang bukanlah sunnah ajaran Nabi Muhammad saw. 


📌Menyambutnya tidak akan menyebabkan orang berpusu-pusu ke masjid dengan istiqamah seperti di Masjidil Haram ataupun Masjid Nabawi.


📌Percayalah, menyebarkan agama Islam yang murni, langsung tidak memerlukan hadith palsu. 


Ajaran asal Nabi Muhammad saw sudah cukup banyak, pelbagai, indah, meriah dan mendamaikan dalam kerangkanya sendiri, jika kita benar-benar menghayatinya dan mengasihi baginda saw, utusan terakhir dihantar oleh Allah swt, Tuhan semesta alam.


اللهم إنا نسألك علما نافعا


اللهم صل على محمد

وعلى ال محمد

كما صليت على إبراهيم

وعلى ال إبراهيم

إنك حميد مجيد

اللهم بارك على محمد

وعلى ال محمد

كما باركت على إبراهيم

وعلى ال إبراهيم

إنك حميد مجيد.

Wednesday, September 13, 2023

JANGAN SEBAR VIDEO HADITH PALSU

 Assalamualaikum.

Tolong jangan sebar video ini (berkenaan dakwaan Nabi Muhammad saw mengajar zikir baru melalui mimpi). Perbuatan menyebarkan dakwaan ini adalah salah satu bentuk sebaran pendustaan atas nama Nabi Muhammad saw.

Semua jenis zikir (termasuk doa, selawat dan istighfar) ajaran Nabi Muhammad saw sudah termaktub dalam al-Quran dan hadith yang sahih, maka para ulama’ menyusun dan mengumpulkannya dalam kitab-kitab hadith mu’tabar, serta berusaha sedaya upaya mengamalkan dan menyebarkannya.

Zikir-zikir tersebut telah diajarkan baginda saw secara langsung kepada para sahabat, dan dinukilkan dari generasi ke generasi melalui sanad yang sahih. Bukan melalui mimpi!

Perbuatan menambah amalan yang didakwa datang daripada mimpi orang tertentu mengganggu syariat dan petunjuk asal yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw.

Ada 2 hadith sahih yang penting diketahui semua tentang larangan berdusta atas nama Nabi Muhammad saw.

🔴Hadith Pertama :

إنَّ مِنْ أفْرٰى الفِرٰى أنْ يُرِيَ عينَهُ ما لَمْ تَرَ
Maksudnya : Sabda Nabi Muhammad s.a.w. :
“Sesungguhnya menipu dengan membuat cerita palsu yang paling besar ialah mendakwa dia melihat sesuatu dalam mimpi yang sebenarnya dia tidak lihatpun perkara itu dalam mimpinya.”

Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ta’bir

🔴Hadith Kedua :

وَمَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ ‏"


Maksudnya : Sabda Nabi Muhammad saw : “Dan sesiapa berdusta atas (nama)ku dengan sengaja, bersiap sedialah untuk mengambil tempatnya dalam neraka.”

Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya’.

Umumnya berbohong atas nama Nabi Muhammad saw dilakukan menerusi 3 cara :

❌i. Berbohong bahawa baginda bersabda sekian dalam hadith (riwayat dengan matan dan sanad palsu)
❌ii. Berbohong nampak baginda semasa sedar atau jaga, padahal yang dilihat itu bukanlah nabi, lalu mendakwa orang yang didakwa sebagai nabi itu menyampaikan bacaan atau ajaran tertentu untuk diamalkan.
❌iii. Berbohong bermimpi nampak baginda, padahal yang dilihat dalam mimpi itu bukan nabi, lalu mendakwa diajarkan bacaan ataupun amalan tertentu.

Peringatan :

1. Syariat Islam sudah sempurna ditinggalkan oleh Nabi Muhammad saw, dalam al-Quran dan hadith yang sahih/thabit.

Tidak boleh menjadikan mimpi sebagai sumber agama.

2. Syaitan boleh datang kepada manusia dengan merupa ataupun menyamar sama ada dalam keadaan jaga ataupun dalam mimpi demi untuk menjauhkan manusia daripada ajaran sebenar Nabi Muhammad saw.


3. Berusahalah untuk mendalami agama mengikut disiplin yang betul, sebagaimana difahami oleh generasi terbaik para sahabat dan tabi’in, agar kita tidak tertipu dengan hadith palsu dan pelbagai dakwaan.

4. Amalkan semak dan tanya sebelum sebar supaya kita tidak termasuk dalam golongan orang yang berdusta atas nama Nabi Muhammad saw.

5. Sentiasa berdoa mohon jalan yang lurus dan ilmu yang bermanfaat.

اللهم اهدنا وسددنا
27 Safar 1445 H

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons