Saturday, June 24, 2023

MEMAHAMI PERBEZAAN MAKNA RABB DAN ILLAH

 ✍🏻 Alhamdulillah, segala pujian hanya bagi Allah. Ramai pelajar sangat mudah memahami perbezaan makna antara Rabb dan Ilaah, apabila mereka belajar Surah al-Nas, bertatih dari kalimah ke kalimah, dari ayat ke ayat.

Ramai yang dapat memahami Tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma’ wa al-Sifat dengan baik. Mereka berdakwah pula kepada orang yang percaya Allah sebagai Rabb itu supaya mereka meninggalkan syirik dan masuk Islam! 

✍🏻Akibat tidak memahami perbezaan makna antara Rabb dengan Ilaah dalam surah al-Nas, maka timbul salah faham. 

Orang yang salah faham akan menyangka bahawa Tauhid Rububiyyah adalah satu konsep yang memasukkan orang kafir yang percaya kepada Rabb itu sebagai ahli tauhid yang sebenar, kerana pada fahamannya,  makna Rabb dan Ilaah itu sama. Jika sudah jadi ahli tauhid rububiyyah, maka menurut kefahamannya, tentulah dikira Islam!

✍🏻 Padahal orang yang kenal perbezaan makna Rabb dan Ilaah  mengatakan bahawa :

“Tidak cukup beriman kepada Allah sebagai Rabb sahaja, iaitu tidak cukup Tauhid Rububiyyah semata. Maknanya, ahli tauhid Rububiyyah masih belum dikira Islam selagi tidak menerima Allah sebagai Ilaah mereka!”

Ini menepati maksud firman Alah swt dalam al-Quran :

✍🏻 Umum mengetahui bahawa syahadah tidak boleh ditukar lafaz asalnya اله kepada رب kerana keduanya membawa makna dan amalan yang berbeza.

Al-Quran menggunakan perkataan yang berbeza untuk menunjukkan makna yang berbeza. Umpamanya, perkataan al-ruh tidak sama maknanya dengan al-nafs. Ramai yang keliru apabila menyamakan keduanya, sedangkan hadith penjelas al-Quran juga terang membezakannya. Oleh itu, jangan sesekali anda samakan makna kalimah Rabb dengan Ilaah, nanti anda kehilangan punca dalam banyak perkara.

✍🏻 Doa dan zikir Nabi Muhammad saw tiada galang gantinya.

Bersama beramal dengannya agar kita kenal kebenaran dan mengikutinya.


‎اللهم اهدنا وسددنا


Dr Nabilah Hasan.                                                                   5 Zulhijjah 1444H

Thursday, June 08, 2023

DAKWAH YANG MANIS DAN BERISI

Dakwah itu manis selagi bertunjangkan keikhlasan dan sukatan perjalanannya menepati ajaran wahyu.


Nabi Nuh as tidak ramai pengikutnya walaupun sangat panjang usia dakwahnya. Namun dirakam al-Quran sejarahnya yang manis. Kisah dakwah terpinggir pada zaman itu dapat pula menyegarkan al-nafs generasi selepasnya, kerana dakwah itu tulus kepada Allah dan kerana Allah, melalui jalan dan cara yang diredai oleh Allah. 


Tuduhan-tuduhan terhadap Nabi Muhammad saw dirakam dalam al-Quran, tentunya pahit ketika di lokasi namun pujukan Allah swt manis dibaca dengan iman. 



Dakwah kita hari ini bukan dakwah para nabi dan rasul, hanya meneruskan baki sahaja. Maka dakwah perlulah mengikut jalan dan sunnah yang dilalui para rasul, khususnya Nabi Muhammad saw. 


Bawa apa yang baginda bawa, bukan selainnya!


Apabila kerja dakwah bercampur dengan keinginan untuk popular, berorientasikan keuntungan, menjaga kepentingan, mempertahankan hadith palsu, meraikan pegangan yang salah, dengki mendengki, memanipulasikan orang lain, ‘twist’ fakta dan keadaan, maka ketika itu, dakwah menjadi tawar dan hambar tiada isi.


Dari satu sudut, umpama peminat Kpop dan yang seumpama dengannya. 


Menjadi pujaan ramai, hingar bingar dan hiruk pikuk online dan offline mempertahankan pujaan. Salahnya jelas namun yang salah itu tetap meraja di jiwa. Jiwa idola pujaan kosong, jiwa-jiwa yang memuja pun kosong. Jalan yang dilalui tidak jelas untuk apa dan tidak tahu hendak ke mana. Berjalan menghabiskan tenaga dan bekalan, tetapi tidak tahu di mana hujungnya dan bila akan sampai.


Menuntut ilmu pada nama tetapi faham yang menjadi inti jauh daripada gapaian. Maka agama menjadi bualan dan pertikaman lidah sahaja. Lancar dihafaz pada lisan, namun lisan yang sama itulah yang berbohong dan menyebarkan pembohongan. Solat tidak sedar apa yang dibaca. Solat tidak terasa hubungan langsung dengan Tuhan. Solat tidak terasa sedang memperhambakan diri kepada Tuhan. Solat tidak menahan perkara munkar pada jiwa dan anggota, kerana solat tidak bermaya, solat cepat-cepat mengejar ‘maqam’, ‘Tiktok’, likes dan followers.


Perkara yang paling Allah tidak suka ialah perbuatan mensyirikkanNya, sama ada secara terang ataupun nyata. 


Para ulama’ memperingatkan bahaya syirik tersembunyi dalam usaha dakwah. Zahirnya tampak berdakwah kepada Allah, batinnya berdakwah kepada diri sendiri. Hal ini mengingatkan kita kepada pentingnya doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw :


اللهم ات نفسي تقواها

وزكها أنت خير من زكاها

أنت وليها ومولاها.

Ya Allah! 

Datangkan bagi nafs ku ketaqwaannya.

Bersihkan dia, Engkaulah sebaik-baik yang membersihkannya.

Engkaulah penjaga dan penolongnya.


Dan juga menyedarkan kita mengapa Umar al-Khattab ra berdoa seperti berikut :


اللهم اجعل عملي كله صالحا، 

واجعله لوجهك خالصاً، 

ولا تجعل لأحد فيه شيئا )


Ya Allah!

Jadikan amalanku semuanya amalan soleh.

Jadikan amalanku itu ikhlas kepadaMu semata-mata.

Dan jangan jadikan amalanku itu dibuat kerana orang lain walau sedikitpun. 

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons