Assalamualaikum.
Bolehkah saya dapatkan pencerahan ustazah tentang ayat ini dan fadilat yg diberitahu dalam audio?
Fadhilat yang dikatakan ialah sekiranya berlaku kesilapan dalam bacaan al-quran, maka bacaan yang silap itu akan diperbetulkan oleh malaikat. Hanya bacaan yang betul sahaja di hantar kepada Allah.
JAWAPAN
وعليكم السلام ورحمة الله
🔴ALLAH MEMELIHARA AL-QURAN DARIPADA KESILAPAN
Ayat 9 Surah al-Hijr ini menegaskan bahawa Allah s.w.t. yang menurunkan al-Quran dan Allah-lah yang memelihara al-Quran itu daripada sebarang kesilapan.
Oleh itu, al-Quran tidak boleh diubah, ditambah ataupun dikurangkan oleh sesiapa, sampai bila-bila. Malah Allah s.w.t. juga memelihara penjelas kepada al-Quran itu iaitu al-Hadith. Cara Allah memelihara al-Quran ialah secara langsung, manakala cara Allah memelihara al-hadith sebagai penjelasnya adalah secara tidak langsung, iaitu dengan cara memelihara disiplin ilmu al-Hadith itu. Mana-mana surah palsu ataupun hadith palsu pasti akan dapat dikesan oleh umat dan para ilmuan islam yang mengkhusus dalam bidangnya serta amanah dalam keilmuan mereka.
Jika ada kesalahan berlaku, yang salah itu bukanlah al-Quran dan bukan juga al-Hadith sebagai penjelas kepada al-Quran, tetapi yang silap itu ialah antaranya :
a. tidak mempelajari al-Quran dengan disiplin yang betul,
b. membaca memahami al-Quran dengan mengikut hawa nafsu،
c. salah faham ayat al-Quran,
d. salah guna ayat al-Quran (seperti mempergunakan ayat 191 Surah Ali Imran untuk membenarkan perbuatan menari sambil berzikir)
e. menggunakan hadith palsu untuk memahami al-Quran,
f. enggan menggunakan al-Hadith sebagai penjelas kepada al-Quran
g. tidak tahu kaedah yang betul untuk memahami ayat al-Quran.
h. tidak berniat ikhlas semasa membaca al-Quran
i. tidak memohon perlindungan Allah daripada syaitan semasa hendak membaca dan mentadabbur al-Quran
🔴 DAKWAAN DALAM AUDIO ADALAH SALAH FAHAM AYAT DAN TIADA SUMBER HADITH
Berdasarkan penjelasan di atas, ayat 9 Surah al-Hijr BUKAN berfungsi memelihara bacaan salah si pembaca al-Quran, sebagaimana didakwa dalam video. Tidak juga dijumpai sebarang riwayat ataupun hadith yang thabit tentang perkara yang disebutkan dalam audio.
Malahan didapati bahawa kenyataan yang disebut dalam audio tersebut bertentangan dengan hadith sahih. Daripada hadith sahih tersebut dapat kita fahami dengan jelas bahawa orang yang gagap dan bersusah payah membaca al-Quran kerana sedang belajar, mendapat dua pahala, manakala orang yang bagus bacaan dan penghayatannya dapat bersama dengan malaikat yang mulia. Matan dan terjemahan hadith tersebut akan disebutkan di hujung tulisan ini nanti.
Apa-apa kenyataan yang dikeluarkan tentang perkara ghaib seperti pahala sekian, dosa sekian, apa yang dilakukan oleh malaikat, hendaklah berasaskan dalil yang jelas. Tidak ada sumber yang berautoriti bagi menjelaskan perkara ini melainkan sumber wahyu. Bermakna, kita mesti melihat dalil al-Quran dan hadith Nabi Muhammad saw kerana hadith adalah penjelas al-Quran. Hadith yang dijadikan dalil itu pula hendaklah hadith yang thabit.
🔴 TINGGALKAN SARANAN AUDIO, INGAT PERKARA INI APABILA KITA MEMBACA AL-QURAN
Memadailah kita dengan beberapa perkara ini :
A. Memohon perlindungan Allah daripada gangguan syaitan setiapkali mahu membaca al-Quran. Inilah yang dianjurkan dalam ayat 98 Surah al-Nahl.
B. Jangan sengaja membaca al-Quran dengan kesilapan, kerana ia adalah suatu dosa, malah mengundang gangguan dan tipudaya syaitan.
C. Menyedari bahawa tersilap dalam membaca al-Quran, seperti makhraj huruf, mad, dengung dan sebagainya kerana masih dalam proses pembelajaran adalah suatu bentuk kesilapan yang dimaafkan, selagi mana kita memang berniat untuk memperbaiki kesilapan kita.
D. Berdoa sentiasa agar ditunjukkan jalan yang lurus dan mendapat ilmu yang bermanfaat. Petunjuk dan ilmu yang bermanfaat sangat tinggi nilainya sehingga Nabi Muhammad s.a.w. menyuruh kita berdoa meminta keduanya daripada Allah s.w.t.
E. Berusaha tadabbur makna al-Quran dengan betul dan mempraktikkannya dengan disiplin yang betul.
Ada banyak hadith palsu yang menyebabkan seseorang itu lari daripada intipati sebenar yang sepatutnya dihayati dalam sesuatu ayat ataupun surah.
Ada pula orang yang enggan menerima hadith Nabi Muhammad s.a.w. yang sahih dalam usaha memahami al-Quran, padahal baginda s.a.w. ditugaskan untuk menerangkan makna al-Quran, sama ada dengan perkataan, perbuatan ataupun pengakuan baginda. Keengganannya menerima hadith mengingkari tuntutan al-Quran sendiri, antaranya ayat 2 Surah al-Jumu’ah :
F. Meningkatkan kualiti bacaan dan tadabbur al-Quran dengan disiplin yang betul, selari dengan hadith Nabi Muhammad saw :
والله الموفق
Dr. Nabilah Hasan
Jumaat
6 Ramadhan 1443 H
8 April 2022