Friday, November 13, 2020

HUKUM BERI ISYARAT HORMAT MENGGANTIKAN BERJABAT TANGAN

Soalan :

Assalamualaikum.

Tersebar satu tulisan yang mengatakan bahawa memberi isyarat hormat ke dada menggantikan bersalam itu haram kerana meniru perbuatan orang kafir. 

Mohon pandangan ustazah.

Jawapan Ringkas :

Waalaikumussalam.

Pelbagai Isu Tular

Banyak isu tular seiring dengan menularnya waba’ Covid-19. Bermula dengan kontroversi bahawa Covid -19 itu dikatakan sebagai konspirasi Yahudi, isu pemakaian mask semasa solat tidak sah, penjarakan semasa solat berjamaah meniru amalan kuil, penetapan had jemaah semasa solat Jumaat agenda musuh Islam, sehinggalah kepada isu ini, iaitu memberi isyarat hormat bagi menggantikan berjabat tangan.

Dalam isu penjarakan semasa solat berjamaah di masjid misalnya, ada yang mendakwa cara itu meniru agama lain di tempat ibadat mereka. Disebarkan gambar perbandingan keduanya dalam media sosial sehingga para ilmuwan terpaksa menjelaskan tentangnya.

Bagi mendapatkan kedudukan hukum dalam isu ini, kita perlu bincangkan satu persatu perkara yang berkaitan meskipun hanya secara ringkas.

Hukum Asal ‘Greeting’ Dalam Islam

Dalam Islam ada dua anjuran yang berbeza apabila 2 orang bertemu di antara satu sama lain. Pertama ialah memberi ataupun mengucapkan salam, dan kedua ialah berjabat tangan. Kita gunakan istilah berjabat tangan sepanjang penulisan ini walaupun dalam perbualan disebut sebagai ‘bersalam’ untuk mengelakkan kekeliruan.

Kedua-duanya dimaklumi berdalilkan hadith yang sahih, sangat dituntut dan mendapat ganjaran yang besar.

Pertama : Mengucapkan salam.

Antara dalil disyariatkan memberi salam ataupun mengucapkan salam ialah sabda Nabi Muhammad saw : 

لَا تَدْخُلُوا الجَنَّةَ حَتَّى تُؤمِنُوا، وَلا تُؤمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا، أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلى شَيْءٍ إذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ : 
أَفْشُوا السَلام بَيْنَكُمْ. 

Maksudnya : “Kalian tidak dapat masuk syurga sehinggalah kalian beriman dan kalian tidak dikira sempurna iman sehinggalah kalian saling mengasihi. Saya tunjukkan kalian sesuatu yang jika dilakukan, kalian akan saling mengasihi : sebarkanlah salam di kalangan kalian.”
(Sahih Muslim)

Perbincangan tentang memberi salam dan menjawab salam ini agak panjang kerana ia membabitkan pelbagai perkara.  Hukum asal memberi salam memang dimaklumi iaitu hendaklah dibuat lafaz syar’i السلام عليكم dengan ucapan yang didengari.  Antara topik menarik yang berkaitan ialah, bolehkah memberi salam dengan isyarat? 

Para ulama’ mengatakan boleh memberi salam dengan isyarat bagi kes tertentu sahaja seperti isyarat mengangkat tangan kerana berjarak jauh dengan orang yang hendak diberi salam. Contohnya seorang pemandu dalam kereta yang sedang memandu memberi salam secara isyarat kepada rakannya di tepi jalan ataupun kepada rakan dalam kereta lain kerana ucapannya tidak boleh didengari. Keadaan ini selalu kita temui dan kita sendiri praktikkan semasa memandu. Demikian juga boleh memberi isyarat kepada orang yang cacat pendengaran kerana ucapan salam tidak didengari.

Para ulama’ mengatakan bahawa dalam keadaan biasa hukumnya makruh (sebahagian ulama’ mengatakan haram) memberi isyarat tanpa diucapkan السلام عليكم kerana terdapat hadith (daif) melarang meniru orang Yahudi yang memberi isyarat dengan jari dan orang Nasrani yang memberi isyarat dengan tangan.

Tidak ada keperluan memberi isyarat apabila berada dalam keadaan normal, malah jika sengaja memberi isyarat sahaja sedangkan mampu mengucapkan salam, ia dikira sebagai tasyabbuh (menyerupai) amalan agama lain.

Kedua : Berjabat tangan.

Antara dalil disyariatkan bersalaman ataupun berjabat tangan ialah sabda Nabi Muhammad saw : 

عن البراء بن عازب قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :

مَا مِنْ مُسْلِمَيٌنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ، إِلَّا غَفَرَلَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَتَفَرَّقَا.

صحيح سنن أبي داود للألباني، حديث 4343.


Maksudnya : “Dua orang muslim (ataupun muslimah) bertemu lalu berjabat tangan, pasti diampunkan dosa mereka sebelum mereka berpisah.” (Sunan Abi Daud)

Sama seperti perbincangan dalam hukum mengucapkan salam, hukum berjabat tangan juga melibatkan banyak sub topik yang berkaitan. Antara persoalan menarik ialah bolehkah meletakkan tangan ke dada selepas berjabat tangan atauoun bersalam? Ramai yang memiliki kebiasaan ini tanpa disedari. 

Cara asal berjabat tangan dalam Islam ialah tidak meletakkan tangan ke dada ataupun ke muka. Namun dalam masyarakat, ia menjadi suatu budaya ataupun kebiasaan sebagai tanda hormat. Tidaklah menjadi suatu kesalahan sekiranya dilakukan atas dasar budaya kebiasaan, selagi tidak dikaitkan dengan agama. 

Halangan Dalam Musim Waba’

Waba’ Covid-19 dimaklumi ada potensi menjangkiti orang lain melalui aktiviti berjabat tangan. Dimaklumi juga bahawa berjabat tangan adalah cara ‘greeting’ paling banyak dilakukan di seluruh dunia. Seruan meninggalkan berjabat tangan dibuat bukan kerana mahu melupuskan amalan dalam agama Islam tetapi kerana memenuhi tuntutan semasa demi ikhtiar mengutangkan penularan waba’ yang boleh meragut nyawa manusia.

Dalam hal ini, ulama’ mengeluarkan fatwa ‘haram’ berjabat tangan buat masa sekarang.

Dalil pengharaman daripada ayat al-Quran adalah Surah al-Baqarah ayat 195:

{وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ} [سورة البقرة]

Dalil pengharaman daripada hadith sahih: 


قال صلى الله عليه وسلم: " فِرَّ مِنَ المَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنَ الأَسَدِ."

 رواه البخاري.

Maksudnya : “Larilah daripada pesakit kusta sebagaimana kamu lari daripada singa.”

Oleh kerana berjabat tangan tidak boleh lagi diamalkan, maka tinggallah mengucapkan salam. Bagi menggantikan kebiasaan tangan dihulurkan secara spontan apabila bertemu, dianjurkan tangan diletakkan ke dada sebagai isyarat hormat. Isyarat itu memberi makna bukanlah kita sengaja tidak mahu bersalam dengan orang yang kita temui tetapi waba’ yang melanda menjadi kekangan. Anjuran ini penting lebih-lebih lagi pada peringkat permulaan merebaknya waba’ ini dahulu kerana kebiasaan menghulurkan tangan tidak mudah untuk dihentikan buat sementara kerana ia sudah sebati dalam kehidupan harian kita.

Maka dimaklumi bahawa mengucapkan salam adalah tuntutan agama manakala memberi isyarat hormat itu sekadar budaya yang menggantikan berjabat tangan sementara masih dalam fasa Covid-19, dan ia bukan tuntutan agama.  

Memberi isyarat ke dada menggantikan berjabat tangan, pemakaian mask dan penjarakan adalah ikhtiar dan keperluan semasa yang bersifat sementara, perlu untuk mengekang waba’ yang sedang menular.

Kesimpulan : Pada pandangan kita, cara yang dicadangkan adalah sederhana tanpa apa-apa makna tersirat yang lain. Tidak tepat menghukumkan tasyabbuh dalam hal ini kerana :

a. Beri isyarat yang dilakukan dalam norma baharu bukan bertujuan menggantikan ucapan salam. Sebaliknya ia dianjurkan untuk mengelakkan tangan dihulur untuk berjabat tangan yang sudah sebati dalam kehidupan.

b. Beri isyarat dilakukan tanpa meninggalkan ucapan salam sebagai ‘greeting’ yang dianjurkan dalam Islam.

c. Cara beri isyarat tidak membabitkan larangan ruku’ dan tunduk kepada insan. Ada juga cara lain yang dilakukan dalam masyarakat seperti mengangguk kepala tanda ‘setuju’ bagi menggantikan berjabat tangan sementara masih dalam fasa waba’.

d. Keperluan meninggalkan berjabat tangan adalah keperluan sejagat kerana wujudnya halangan untuk berjabat tangan. 

e. Cara yang tidak bercanggah dengan prinsip agama ini tidak dianggap amalan agama dan tidak kekal sebagaimana tidak kekalnya pemakaian mask dan penjarakan sosial semasa solat. Cara ini dianjurkan sementara sahaja dengan sebab wujudnya waba’.

Penutup

Waba’ yang melanda mengingatkan kita tentang besarnya nikmat perlindungan dan keamanan yang Allah kurniakan selama ini. Renungi kembali 3 nikmat besar kurniaan Allah kepada insan yang telah kita pelajari dalam Surah al-Dhuha :

  1. Perlindungan
  2. Ilmu yang menjadi hidayah petunjuk
  3. Kecukupan

Nikmat yang sedang Allah tahan buat kita sementara ini ialah sebahagian jenis perlindungan sehingga tidak memungkinkan kita untuk berjabat tangan dan bersosial dengan selamat. 

Pahala berjabat tangan tetap ada walaupun kita tidak berjabat tangan (dan hanya memberi isyarat yang sesuai) jika kita menepati 2 syarat pahala berterusan walaupun amalan terhenti kerana terhalang. Pertama, kita ada niat (untuk berjabat tangan apabila keadaan mengizinkan). Kedua, kita ada kebiasaan (biasa berjabat tangan kerana ingin memenuhi saranan Nabi Muhammad saw) sebelum menularnya waba’.

Allah tetap memberikan kebaikan kepada orang beriman dalam apa keadaan sekalipun, apabila orang-orang yang beriman tahu cara menguruskan keadaan dan cabaran yang dihadapi dengan iman dan ilmu yang benar.

اللهم إنا نسألك العفو والعافية في الدنيا والآخرة


والله أعلم

Jumaat

9.35 pagi

13/11/2020

27 Rabi’ al-Awwal 1442H

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons