Sunday, June 14, 2020

MEMATUHI PERINTAH DAN MENINGGALKAN LARANGAN ALLAH

Assalamualaikum.

Bagi melakukan sesuatu amalan soleh, beberapa siri kuliah diperlukan bagi membimbing kita melakukan sesuatu amalan ibadah dengan betul. Kita belajar sejarah pensyariatannya, syaratnya, rukunnya, ‘sah batal’, falsafah penghayatannya dan sebagainya.


Namun bagi meninggalkan larangan Allah, cukup dengan kita tahu bahawa sesuatu itu dilarang, kemudian kita pun terus meninggalkannya kerana Allah.

Meskipun tempoh untuk ‘tahu dengan betul’ tentang perkara yang dilarang itu adakalanya agak panjang, umpamanya larangan hasad dengki dan larangan berdusta atas nama Nabi Muhammad saw, namun pelaksanaannya tidak perlu kepada ‘how to’ yang pelbagai. Apa yang penting ialah ilmu yang sahih, niat yang benar, kemudian tinggalkan sahaja. Niat ialah melakukan sesuatu ataupun meninggalkan sesuatu kerana hendak mematuhi perintah Allah.

Menonton video yang merosakkan jiwa, merokok, mengumpat, hasad dengki, mengambil hak orang lain atas pelbagai nama dan alasan, mencuaikan solat, mengasari ibubapa, membuka aurat, solat celup-celup, solat lewat-lewat, malas, bakhil dan menyebarkan hadith palsu adalah contoh amalan fizikal dan amalan al-nafs yang mesti ditinggalkan segera kerana Allah. 

Amalan yang baik di sisi Allah itu ada 2. 

Pertama, melakukan sesuatu kerana Allah. 

Kedua, meninggalkan sesuatu kerana Allah. 

Bagi sebahagian orang, apabila sesuatu dosa sudah mendarah daging dalam kehidupan, dirasakan bahawa melakukan apa yang disuruh jauh lebih mudah daripada meninggalkan apa yang dilarang!

Umpama seekor burung, penerbangan akan berjaya dan stabil apabila memiliki dua sayap yang sihat dan berfungsi dengan baik. Begitulah orang beriman. Sayap mematuhi perintah Allah mesti selalu seiring dan bergandingan dengan sayap meninggalkan larangan Allah.

Masih ingat akan kisah 3 pemuda Bani Israil yang terperangkap di dalam gua? Bukankah mereka bertiga lolos hanya setelah ketiga-tiga mereka merintih dan berdoa dengan amalan yang lalu? Dua daripadanya melakukan sesuatu kerana Allah, manakala seorang lagi meninggalkan sesuatu kerana Allah!

Allah sayang kepada orang melakukan sesuatu keranaNya, dan Allah sayang kepada orang yang meninggalkan sesuatu keranaNya.

اللهم أعنا على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك

Ya Allah! Bantulah kami bagi mengingatiMu, mensyukuri nikmatMu dan beribadah sebaik-baiknya kepadaMu.

Dr. Nabilah Hasan
22 Syawal 1441H
PKPP

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons