Thursday, September 12, 2019

KHURAFAT SURAT BERANTAI

SOALAN : 

Assalamualaikum. 

Maaf ustazah, harap dapat kiranya ustazah beri ulasan tentang sebaran ini. Saya dahului dengan ucapan terima kasih.







JAWAPAN :

Waalaikumussalam.


📌1. Tulisan tersebut bercampur baur antara kebenaran dengan kebatilan.

📌2. Tulisan tersebut mengandungi pendustaan terhadap Nabi Muhammad saw yang dilarang dan diancam dengan neraka, sebagaimana sabda baginda saw dalam hadith yang sahih :

ومن كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار

Maksudnya : "Dan sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, bersedialah mengambil tempatnya dalam neraka."

(Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya', Bab Ma Dhukira min Bani Israil.)

📌3. Tulisan tersebut sebenarnya mengandungi 2 bahagian, menggabungkan 2 tulisan yang pernah dikemukakan persoalannya sebelum ini. Tulisan bahagian pertama iaitu wasiat dalam surat berantai yang kononnya daripada penjaga makam itu telah berusia hampir 100 tahun, disebarkan di seluruh dunia, termasuk di negara-negara Arab.

Terdapat pelbagai versi yang disebarkan seperti dari sudut bilangan salinan yang perlu disebarkan. Ada yang menyuruh membuat 20 salinan, 25 salinan, ada juga 30 salinan. Ada juga versi yang menyuruh hadiahkan al-Fatihah kepada Nabi Muhammad saw apabila menerima surat berantai tersebut. (Kepalsuan mudah dikesan daripada versi ini kerana menghadiahkan al-Fatihah kepada baginda saw tidak disyariatkan dalam Islam. Tidak ada mana-mana nas yang menyuruh berbuat demikian maka tiada sebarang riwayat pula mana-mana sahabat melakukannya sedangkan merekalah yang paling sayang kepada baginda saw.)

Para ulama’ mu’tabar telah memberi komentar tentang KEPALSUAN surat berantai tersebut. Ada di antara mereka yang mengatakan kepalsuan wujudnya penjaga makam bernama Syeikh Ahmad pada tempoh surat berantai ini dikeluarkan. Ada juga yang mengatakan Syeikh Ahmad yang dimaksudkan itu (bukan hidup dalam tempoh surat tersebut disebarkan dan beliau) tidak menyebarkan kisah ini.

📌4. Kedua-duanya mengandungi janji dan ancaman yang DUSTA  dari sudut agama. 

Secara terperinci dijanjikan balasan buruk bagi orang yang tidak menyebarkannya dan balasan baik bagi orang yang menyebarkannya. 

Tiada sumber yang layak menjanjikan balasan baik dan buruk yang pasti seumpama itu melainkan sumber wahyu, sama ada al-Quran ataupun hadith yang thabit. 

Tulisan tersebut juga membesarkan pesanan yang kecil daripada mimpi yang tidak pasti kebenarannya berbanding al-Quran kalamullah. Tiada pula ancaman sedemikian dalam nas agama bagi sesiapa yang tidak membuat salinan al-Quran sekian banyak apabila menerima al-Quran.

Sudah berapa ramai yang takut dan membesarkan surat berantai begini namun meninggalkan al-Quran dan mengabaikan hadith-hadith yang sahih.

📌5. Menyebarkan tulisan tersebut kerana takut menerima nasib buruk ataupun kerana hendak mendapatkan kebaikan seperti yang dijanjikan boleh menjejaskan akidah seorang muslim. 

Mempercayai  surat berantai ada  kuasa memberi manfaat dan mudarat sama seperti percaya kepada Safar adalah bulan sial, ataupun percaya kalau keluar bermusafir hari Rabu akan mendapat malang.

📌6. Jangan sebarkan perkara khurafat. 

Tiada apa-apa kebaikan jika kita menyebarkan tulisan surat berantai seperti ini, malah mengundang dosa.

Apabila sampai ke ‘group’ kita, nyatakan kepalsuannya dan minta kepada semua ahli group agar tidak menyebarkannya.

📌7. Sebarkan ilmu yang sahih sahaja.

اللهم إنا نسألك علما نافعا
ورزقا طيبا
وعملا متقبلا






0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons