Saturday, February 16, 2019

Ustazah, Bumi Ini Bulat Ataupun Mendatar?

🔴 Kita beberapa kali menerima persoalan ini khususnya daripada mereka yang percaya bumi ini mendatar. Kita merasakan bahawa tidak perlu berbahas kerana mempelajari al-Quran dan al-Hadith secara berdisiplin itu lebih penting dan membuka ruang untuk kita memahami perkara ini dari perspektif al-Quran dan al-Hadith. 


Apabila ditanya berulangkali, maknanya mereka yang mengatakan bahawa bumi itu mendatar juga sebenarnya tidak begitu yakin dengan teori tersebut. 

Ini berbeza bagi mereka yang sentiasa mengikuti pengajian secara berkala dan berdisiplin serta memiliki teks rujukan pengajian. Hal ini jelas kerana ilmu wahyu sering membincangkan persoalan kejadian alam yang membuktikan kebesaran Allah. Kita akan menelusuri dari ayat ke ayat, dari hadith ke hadith, dan merasai kebesaran Allah serta kebenaran Nabi Muhammad saw.

🔴 Tidaklah pernah, kita, orang yang ditanya, ke angkasa untuk melihat dari atas, apakah bumi ini bulat ataupun mendatar. Ke kutub utara dan ke kutub selatan pun kita tidak pernah sampai, apatah lagi ke angkasa.

Walaupun bagaimanapun, pengalaman kita memerhatikan alam, meneliti ayat-ayat al-Quran dan hadith, tafsir dan huraian para ulama’ serta teori para saintis, kita berpuashati dengan kenyataan bahawa bumi ini bulat. 

🔴 Menyatakan bumi leper dan mendatar, pada kita tidak menepati ayat al-Quran dan hadith Nabi saw.


Antaranya ialah ayat 5 Surah al-Zumar.

Perkataanيُكَوّر bermakna melingkari, maknanya malam melingkari siang dan siang melingkari malam. Ayat ini menunjukkan bumi ini bulat, kerana kejadian siang dan malam tidak akan digambarkan begini jika bumi itu leper. 

Teori sains secara umumnya tidak bertentangan dengan ayat ini, malahan kita semua telah lama menerima fakta bumi ini bulat.

🔴 Ayat-ayat yang menggambarkan bumi sebagai ‘hamparan’ tidak menafikan ayat 5 Surah al-Zumar di atas. Oleh kerana besarnya saiz bumi, dan besarnya nikmat serta kekuasaan Allah, maka kita yang berada di atasnya merasakan bumi yang kita duduki seperti hamparan yang rata. Tidak merasakan bulatnya bumi, tidak merasakan putaran bumi dan tidak merasakan peredaran bumi.

Menyatakan bumi mendatar, terfikir juga kita, di mana dan apa maknanya lagi garisan ‘Khatulistiwa’ misalnya?

🔴Teori sains menyatakan bahawa 3 planet utama bagi kita iaitu matahari, bumi dan bulan berputar pada paksi masing-masing.

Bumi mengambil masa 24 jam untuk membuat putaran lengkap.

Matahari mengambil masa 25 jam untuk membuat putaran lengkap.

Manakala bulan ambil masa paling lama untuk membuat putaran lengkap pada paksinya, iaitu 27 hari.
(Maknanya, jikalau dinisbahkan kepada hari seperti di bumi, hari di bulan sangat panjang. Panjang sehari umpama 27 hari di bumi.)

Perbezaan cepat lambat putaran di kalangan planet-planet ini membantu kita memahami sedikit sebanyak apa yang akan berlaku ketika hampir kiamat nanti. Fenomena  yang tidak mustahil langsung bagi Allah dan masih boleh difahami dengan memerhatikan sunnatullah.

🔴 Dalam hadith Sahih Muslim, Nabi Muhammad saw menceritakan bahawa dekat kiamat nanti, Dajjal akan turun. Dajjal akan berada di bumi selama 40 hari. Tapi 40 hari itu tidak akan sama dengan tempoh 40 hari sekarang. Sebab apa? Sebab kata Nabi saw, sehari pertama itu seperti 1 tahun, sehari berikutnya seperti 1 bulan, sehari berikutnya seperti 1 minggu, dan 37 hari selebihnya sama seperti hari-hari biasa. 

Hadith ini akan kita pelajari dengan lebih detail dalam bab-bab terakhir kitab Riyad al-Solihin. 

🔴Apa kaitannya dengan perbincangan kita tentang putaran bumi, bulan, dan matahari tadi?

Ada kemungkinan fenomena yang berlaku ketika itu ialah, bumi pada masa tersebut jadi lambat berputar. Hari pertama mungkin mengambil masa berganda lebih lama daripada tempoh putaran bulan. Bulan dikatakan berputar lengkap satu pusingan dalam masa 27 hari,  sedangkan bumi pada hari pertama turunnya Dajjal (kalau ikut fenomena ini) mungkin mengambil masa 365 hari untuk melengkapkan satu putaran.

Hari berikutnya mengambil masa 30 hari, lama sedikit daripada tempoh putaran lengkap bulan sekarang. Dan hari ketiga mengambil masa 7 hari. Hari-hari seterusnya mungkin kembali normal, bumi berputar dalam rempoh 24 jam seperti biasa. 

Kita cuba memahami fenomena yang digambarkan dalam hadith tersebut, sekadar kemampuan kita setakat ini, dengan menerima teori bahawa bumi ini bulat. 


🔴Teori dan fenomena yang ada, serta fenomena yang digambarkan akan berlaku, menyebabkan kita merasai keagungan dan kebesaran Allah swt, Tuhan Semesta Alam. 

Luasnya alam Allah, besarnya kuasa Allah, Maha Agung dan Maha Suci Allah. 

Adapun kita makhluk bernama insan, bagaikan atom terkecil dalam gandaan besarnya makhluk-makhluk Allah yang lain. Sujud kita kepadaNya tidak pernah dan tidak akan sia-sia.


Al-Quran mendidik insan supaya memerhatikan alam kerana ia sepatutnya memberi keinsafan dan merasakan kehambaan diri. 

Al-Quran juga mengajar kita supaya memastikan masa terisi dengan perkara bermanfaat, serta memilih pandangan terbaik dalam apa jua urusan, lebih-lebih lagi dalam urusan yang berkaitan dengan agama kita.


والله أعلم

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons