Friday, June 01, 2018

ADAKAH WANITA MENDAPAT KELEBIHAN SOLAT BERJAMAAH APABILA SOLAT DI MASJID?

🔴 Soalan

Assalamualaikum.

Mohon pencerahan ustazah tentang kelebihan wanita ke masjid. Adakah wanita akan mendapat kelebihan seperti lelaki, ataupun kelebihannya tidak akan diperolehi oleh wanita, walaupun dia ke masjid?

🔴 Jawapan



Waalaikumussalam.

Ulama’ berbeza pandangan dalam soal ini.

📌Pahala berjemaah

Apa yang nyata, hadith sahih yang menyebut tentang solat berjemaah lebih afdal 27 ataupun 25 darjat adalah UMUM untuk lelaki dan wanita, kerana tidak ada dalil jelas menunjukkan ia hanya diperolehi oleh lelaki, jika kedua-dua solat berjemaah, termasuklah di masjid.

Kedua-dua hadith, dengan lafaz 27 darjat dan 25 darjat, diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari.



Perbezaan 27 dan 25 darjat itu bergantung kepada kualiti solat, ramainya jemaah dan kualiti jemaah solat itu.

Hadith ini tidak dikhususkan kepada lelaki sahaja. Apabila wanita solat secara berjamaah, kelebihan solat berjamaah juga akan diperolehi.

📌Hukum Berjemaah Di Masjid

Hal ini berbeza dengan hukum menghadiri solat berjamaah di masjid. 

Para ulama’ berbeza pandangan tentang hukum orang lelaki solat berjamaah di masjid. 

Pertama, wajib, fardhu ain. Ini pandangan mazhab Ahmad, Ibn Hazm dan Ibn Taymiyyah.

Kedua, fardhu kifayah.

Ketiga, sunnah mu’akkadah.

Keempat, sunat.

Berdasarkan dalil-dalil, ramai ulama’ mentarjihkan pandangan yang mengatakan solat berjamaah di masjid bagi lelaki hukumnya fardhu kifayah.

Bagi yang mengetahui kelebihan solat berjemaah, mengetahui bagaimana Nabi saw menekankan kepentingan solat berjamaah, mengetahui kelebihan masjid sebagai rumah Allah, ingin mendapat naungan Allah pada hari kiamat dan mendapat pahala i’tikaf semasa di masjid, mereka akan berusaha sedaya menghadiri solat berjamaah di masjid pada setiap waktu solat. Mereka tidak akan menjadikan alasan ‘hukumnya hanya fardhu kifayah’ ataupun ‘sunat sahaja’ untuk selalu tidak hadir!

Bagaimana dengan wanita?

Hukum solat berjamaah di atas tidak dikenakan ke atas wanita. Tidak menjadi fardhu kifayah apatah lagi wajib. Terdapat hukum khusus untuk wanita, iaitu ‘diizinkan.’


Apabila menepati syarat, wanita diizinkan keluar solat berjamaah di masjid, dan mudah-mudahan mendapat segala kelebihan yang disebutkan tentang solat di masjid. Bermula dengan langkah-langkah yang di atur ke masjid, solat tahiyyatul masjid, solat berjamaah di masjid, sehinggalah duduk di dalam masjid.

Apabila syarat tidak dipenuhi, menimbulkan fitnah ataupun menjejaskan kewajipan asas yang lain, maka yang lebih afdal adalah solat sahaja di rumah.

📌Dalam suasana aman di tempat kita ini, masjid yang dihadiri pula terbuka bukan ruang yang tertutup, wanita itu sendiri selamat daripada fitnah kerana tidak berhias dan tidak berwangian, mendapat izin suami dan keluarnya ke masjid tidak menjejaskan tanggungjawab asas kepada keluarga, maka wanita elok ke masjid untuk mendapatkan fadilat yang disebutkan bagi solat berjemaah, dan juga mendapatkan fadilat solat di masjid. 


Apatah lagi jika masjid mengadakan majlis ilmu yang sahih, kerana menuntut ilmu agama adalah satu kewajipan. 



والله أعلم

اللهم إني أعوذ بك من شر ما عملت،

وشر ما لم أعمل.

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons