Wednesday, March 22, 2017

HIWAR

Assalamualaikum.

Semua ulama' dalam bidang ilmu akidah, fiqh dan menyucikan jiwa merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah dengan disiplin ilmu yang benar untuk memastikan amalan itu diterima oleh Allah swt.

Dua syarat amalan diterima :
1. Ikhlas
2. Menepati sunnah dan syariat

Inilah hikmah yang terbesar mengapa Allah memerintahkan kita kembali kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Hadith/Sunnah) dengan penuh amanah dan ilmiah.

Perlu diingatkan berhujah dengan al-Quran dan al-Hadith mesti ada disiplinnya.
Jadi, diminta kita berhujah dengan ilmiah dan tenang. 

1🔸SUNNAH?

Tuan mendakwa ada tariqat  yang mengikut sunnah. 

Lalu, saya berminat untuk mengetahui. Saya minta nyatakan apakah amalan dan zikir tariqat yang mengikut sunnah itu. Saya minta kerana umum mengetahui, tariqat ada amalan dan zikir tersendiri.

Apabila tuan mengatakan tariqat itu tariqat naqsyabandiyyah, saya tidak setuju, kerana saya kenal pengikut dan ajarannya. 

Contoh ringkas yang saya bawa ialah  amalan ASAS dalam tariqat naqsyabandiyyah, iaitu menghadiahkan al-Fatihah kepada Rasulullah saw.

Terbukti ia bukan sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah saw. 

Namun tuan mengatakan ia sunnah.

Kita tidak boleh mengatakan sesuatu itu sunnah Nabi Muhammad saw, melainkan jika ada dalil yang jelas. 

Sebab itu ulama' katakan, adalah penting kita memahami perkara asas sebelum masuk kepada perkara yang lebih tinggi. 

Fahamkah kita apa maksud sunnah?

Ulama' manakah yang mengatakan menghadiahkan al-Fatihah kepada Rasulullah saw adalah sunnah?

Apakah pernah Nabi saw menyuruh perkara tersebut? 

Jika tidak, apa perlunya kita menambah perkara yang tidak pernah diajarkan baginda saw, malah dijadikan asas dalam amalan? Tidak cukupkah amalan dengan amalan yang dianjurkan dalam sunnah yang begitu banyak untuk diamalkan sehari-hari?

Selawat dan hadiahkan al-Fatihah jauh bezanya.

Sunnah dalam hal ini ialah meninggalkan hadiahkan al-Fatihah kepada Rasulullah saw. 

Berdasarkan hadith Rasulullah saw :
 من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد

Sunnah dalam perkara ini ialah berselawat kepada baginda saw, kerana hadith yang sahih seperti selawat Ibrahimiyyah itu jelas, termasuk lafaz selawat itu jelas diajarkan oleh Nabi Muhammad saw satu persatu.

Dalam persoalan pertama, tuan belum  membuktikan tariqat yang tuan maksudkan mengikut sunnah. 

Saya mohon tuan nyatakan amalan dan zikir lain dalam tariqat yang tuan maksudkan, mengikut sunnah.

2🔸SYEIKH MUHAMMAD RASYID RIDHA

Beliau adalah salah seorang 'alim dari kalangan ulama' yang terkenal dalam dunia Islam. Mempunyai darah keturunan Rasulullah saw. 

Beliau keluar daripada dua tariqat. Syaziliyyah dan Naqsyabandiyyah. Diterangkan dengan jelas apa yang bertentangan dengan ajaran Islam yang murni, setelah berpengalaman selok belok tariqat yang beliau sertai.

Ada banyak khurafat dan bid'ah yang beliau temui. Beliau boleh membuat perbandingan kerana beliau ada ilmu tentang al-Quran dan al-Sunnah. Beliau memahami apa maksud sunnah dan apa maksud bid'ah. 

Beliau juga menyaksikan bagaimana khurafat yang dianggap ajaran Islam telah melemahkan umat Islam pada zamannya.

Sejarah beliau sangat menarik. Jikalau ada pihak yang tidak mahu menerima hujahnya, apa boleh buat.  

3🔸SANAD

Soal sanad, hendaklah kita kembali kepada maksud dan hikmah sanad dalam ilmu hadith.

Tujuan asal sanad ialah hendak memastikan sandaran itu betul tepat datang daripada Rasulullah saw. Supaya apabila bila kita beriktiqad dan beramal, iktiqad dan amalan kita itu diterima Allah kerana menepati kehendakNya.

Namun sanad hadith boleh dipalsukan, sama seperti hadith itu sendiri. Kepalsuan ini akan dapat dikesan oleh para ulama' hadith. Maksudnya, hadith palsu pun diletakkan sanad untuk mengaburi hakikat sebenar, dan ia memerlukan kepakaran untuk mengesannya.

Bahaya hadith palsu kerana ia mengancam syariat asal. Persoalan penting dalam hadith bukan sekadar sanad, tetapi keaslian sanad dan matan (isi hadith) itu. 

Begitu juga dengan tariqat. Semua tariqat mendakwa ada sanad. 

Persoalan paling penting ialah amalan dalam tariqat itu, apakah amalan dan zikirnya? 

Jikalau tariqat itu didakwa ada sanad kepada Ali ra, tetapi amalan tidak menepati sunnah, tidak menepati syariat, ia tidak boleh diterima. 

Tidak ada ertinya sanad kalau sekadar diletakkan, sedangkan amalan itu bukan datang daripada ajaran Rasulullah saw.

Sebagaimana Syiah sering menyandarkan amalan dan riwayat yang mereka guna kepada Ali, ada sanad kepada Ali, walhal riwayat itu majoritinya adalah palsu. 

Semoga perbincangan membawa kebaikan.

اللهم اهدنا وسددنا

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons