Monday, February 29, 2016

SOP UNTUK PELAJAR AGAMA DEWASA

ULASAN SUB TAJUK : PENTINGNYA ILMU BAGI PENDAKWAH DAN GURU



Ulasan 1.  Sepatutnya pengajian ilmu agama kelas dewasa juga ada SOP.

Berdasarkan pengalaman, peringkat pengajian dewasalah paling sukar untuk kita tentukan SOP, melainkan jika pengajian dibuat secara rasmi ataupun tertutup. Dalam pengajian secara rasmi, tapisan boleh dibuat sebelum kemasukan. Pelajar juga boleh diasingkan pelajar mengikut tahap kefahaman dan pencapaian.

Dalam kuliah agama yang umum, sukar untuk kita raikan kedua pihak - advanced dan beginners. Kemampuan dan kesediaan memang berbeza. (Inilah sebabnya nyata perbezaan hasil di antara ceramah dengan kelas pengajian secara khusus) Maka, kefahaman yang diterima juga sudah tentu berbeza, bergantung kepada ilmu asas yang sedia ada.

Pelajar sekolah umumnya mendapat sukatan daripada satu sumber. Namun pelajar dewasa biasanya mendapat maklumat daripada pelbagai sumber, khususnya daripada ceramah dan cerita, ataupun tulisan yang dilihat menarik, yang belum pasti kesahihannya. Apatah lagi pada zaman internet seperti sekarang, pelajar mungkin akan bertanya perkara yang lebih daripada kemampuan akibat daripada lambakan maklumat yang diterima.

Mengapa ustaz ini kata begini, mengapa ustaz itu kata begitu.

Menerangkannya tidak mudah dan memahaminya pula memerlukan masa. 

Contohnya, masih ramai tertanya-tanya mengapa wujud hadith palsu. Mengapa tidak boleh sebarkan sedangkan bunyinya elok. Apa bahayanya hadith palsu. 

Umumnya, perlu pengorbanan dan 'tahan susah' daripada pelajar yang ingin belajar. Kalau tak dipecahkan ruyung, bagaimana hendak dapatkan sagunya? Pepatah ini sesuai dengan semua pelajar, termasuk pelajar dewasa.

Ya, untuk poin pertama kita ringkaskan bahawa SOP sangat penting untuk pelajar agama dewasa, namun ia sukar dilaksanakan melainkan dalam pengajian tertutup dan berkala.


Contoh Pengajian Agama Dewasa Tertutup Dan Berkala


Ulasan 2. Sebelum menentukan SOP, paling utama dan asas dalam memastikan ilmu agama yang baik ialah :

a. Sukatan yang menepati disiplin ilmu wahyu
b. Guru yang berkelayakan dan amanah terhadap ilmu
c. Pelajar yang ikhlas kerana Allah dan berusaha bersungguh-sungguh

A. Sukatan 

Jika sukatan banyak mengandungi hadith palsu dan perkara khurafat contohnya, SOP akan menjadi kacau keseluruhannya. Bayangkan jika guru bergantung penuh kepada silibus itu, dan ada SOP sendiri!

Kerja menerangkan tentang akidah, syariat dan akhlak mengikut sukatan yang betul berdasarkan al-Quran dan al-Hadith juga biasanya menjadi sukar jika masyarakat ataupun pelajar meletakkan 'adat kebiasaan' yang telah diwarisi sebagai sukatan (lebih susah lagi jika dijadikan penapis) dalam menilai ajaran yang disampaikan. Apabila adat tersebut bertentangan dengan sukatan sebenar, dan adat lebih dipertahankan berbanding sukatan, maka ketika itulah ajaran Islam sebenar tertutup dan terhijab.

Inilah hikmahnya Allah swt memelihara kedua-dua sumber sukatan agama, iaitu al-Quran dan al-Hadith, daripada sebarang penyelewengan dan penambahan. Dengan ini, apabila ada pertikaian dalam sukatan yang sedia ada, umat Islam diperintahkan supaya kembali melihat SUKATAN ASAL iaitu al-Quran dan sunnah nabi saw. 

B. Guru  

Jika guru berfahaman Syiah, ataupun menerima fahaman Wahdatul Wujud dan Nur Muhammad misalnya, sukatan yang paling tinggi iaitu al-Quran sekalipun tidak akan membuahkan hasil yang baik, kerana akan wujud penyelewengan dalam memahami ayat al-Quran apatah lagi dalam pengajaran.

Ataupun jika misalnya ada dua pelajar dalam satu pengajian. Seorang lulus cemerlang dengan kefahaman yang baik, tetapi seorang lagi lulus cukup makan dengan wujud salah faham. (Peperiksaan hanya salah satu bentuk penilaian, semua kita tahu itu). Logiknya, tidak akan sama mutu dan hasilnya, jika mereka berdua kelak mengajar subjek yang sama. 

Adalah lebih baik kita bergelar pelajar yang sentiasa berusaha mendampingi sumber rujukan ilmu yang mu'tabar, daripada mengaku menjadi guru tanpa persediaan yang cukup.

C. Pelajar 

Jika pelajar belajar agama tanpa keikhlasan, ingin mendapat kedudukan misalnya, ataupun ingin bersaing dengan orang yang pandai, ia boleh menjejaskan kualiti ilmu yang diperolehi. Niat yang ikhlas, doa dan usaha bersungguh-sungguh melorongkan seseorang untuk mendapatkan ilmu yang baik, seterusnya membentuk jiwa dalaman dan syaksiyyah luarannya. Insan boleh menipu orang lain, tetapi insan tidak boleh menipu Allah, Tuhan yang menciptanya.

Jika silibus sudah elok, guru pula berkelayakan dan sanggup berkorban masa, jiwa dan raga, namun jika pelajar tidak melaksanakan tugasan yang diberi, tidak mahu berusaha, maka SOP yang baik pun tidak berkesan. 

Nabi saw umpama guru yang terbaik, menyampaikan silibus paling sempurna daripada Tuhan semesta alam, dan semestinya dengan Standard Operating Procedure yang paling baik. Namun ada insan yang beriman, dan ada juga yang menolak.

Dengan kata lain, SOP dalam menyampaikan ilmu agama ataupun dakwah sangat penting, namun ia juga berkait rapat dengan ketiga-tiga faktor di atas. 

Ulasan 3. Tentang perkara 'pelik' dalam agama, ia perlu difahami secara benar.

Sebenarnya ilmu agama sangat terpelihara dan berada dalam sistem yang sangat kemas. Tidak ada sebenarnya istilah ilmu yang pelik dan rahsia. Cuma kita belajar mengikut tahap dan kemampuan. Daripada senang kepada yang lebih susah. Di peringkat yang lebih tinggi, kita akan belajar dan mengkaji mengikut pengkhususan.

(Contohnya tentang ilmu tentang khilaf dalam fiqh. Ia tidak sesuai diberitahu kepada pelajar sekolah kerana akan dianggap pelik. Tetapi untuk pelajar dewasa, kita perlu menerangkan kerana mereka bertanya 'betulkah sekian sekian'. )

Nabi Muhammad saw telah menyampaikan ilmu syariat dengan sempurna, complete, tiada yang tertinggal dan tiada ilmu syariat yang menjadi rahsia. Setiap perintah mesti dipatuhi dengan penghayatan, kerana ia bukan sekadar amalan fizikal, namun dapat membersihkan jiwa dalaman manusia. Setiap larangan mesti dijauhi, kerana selain ia membawa kerosakan pada kehidupan lahiriah, perkara yang dilarang juga merosak dan mengotorkan jiwa manusia.

Firman Allah swt :

اليوم اكملت لكم دينكم وأتممت عليكم نعمتي ورضيت لكم الإسلام دينا

Ada sesetengah orang mendakwa tasawwuf dan tariqat mengandungi ilmu yang pelik-pelik. Guru tariqat didakwa memiliki ilmu yang terus didapati daripada Allah melalui mimpi dan sebagainya. Mereka mendakwa ada guru yang berhati suci mendapat bimbingan terus daripada Allah, ataupun mendapat ajaran nabi dalam mimpi. Mereka membawa cara zikir yang pelik dan selawat baru. Mereka juga dikatakan memiliki keajaiban-keajaiban seperti berjalan atas air, menukar daun menjadi duit dll kerana ada 'ilmu ladunni.'

Ini sangat bahaya dan membuka pintu kerosakan kepada agama.

Sesiapa sahaja boleh mendakwa menerima ilmu terus daripada mimpi ataupun ilham. Bila-bila masa sahaja syariat Islam boleh diselewengkan dengan adanya dakwaan seperti ini.

Inilah sebabnya Allah memelihara wahyu iaitu al-Quran (dan hadith).

Al-Quran menjelaskan perkara ini kepada kita : 

إنا نحن نزلنا الذكر وإنا له لحافظون.

Kita disuruh berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Hadith yang terpelihara ini dengan pemahaman generasi terbaik, iaitu para sahabat nabi saw. Dengan cara kemas dan bersistem seperti ini, agama terselamat daripada tokok tambah dan penyelewengan. Tanpa disiplin, kita terdedah dengan pelbagai dakwaan dan perkara pelik yang disandarkan kepada agama. 

Antara contohnya ialah seperti zikir menari dan lakaran capal yang telah kita ulaskan sebelum ini.

Tiada siapa pun boleh menokok tambah ajaran agama yang telah sempurna disampaikan oleh nabi saw. Inilah maksudnya baginda saw penutup segala nabi. Dan inilah hikmah haramnya melakukan bid'ah dalam agama. 

Bagi tujuan membersihkan jiwa, tiada tariqat lain yang boleh menandingi tariqat nabi, iaitu mengikut sunnah baginda saw. Al-sunnah maknanya al-tariqah. 

Zikir-zikir dan doa-doa daripada hadith-hadith yang sahih, ada yang ditetapkan bilangan dan masanya, ada yang diluaskan pelaksanaannya. Kita ikut ketetapan bilangan dan masa jika ditetapkan dalam sunnah, manakala yang diluaskan maka kita amalkan pada bila-bila masa yang sesuai, tanpa ketetapan khusus.

Jiwa menjadi tenang jika kita berzikir dan berdoa mengikut sunnah nabi saw. Sebelum berzikir dan berdoa, kita pelajari zikir dan doa mengikut sunnah nabi saw dalam hadith-hadith yang sahih. Semasa berzikir dan berdoa, paling kurang mudah-mudahan kita mendapat dua pahala. Pertama, pahala beribadah dan mengingati Allah swt. Kedua, pahala menurut tunjuk ajar utusan-Nya dalam berzikir.





والله أعلم
اللهم إني أعوذ بك من شر ما عملت وشر ما لم أعمل

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons