Tuesday, September 15, 2015

LARANGAN MEMOTONG KUKU SEBELUM MELAKUKAN IBADAT KORBAN, PUASA SUNAT PADA BULAN ZULHIJJAH, DAN IBADAT KORBAN BAGI AHLI KELUARGA YANG SUDAH MENINGGAL DUNIA

Soalan Pertama :

Benarkah larangan bercukur dan memotong kuku sebelum melakukan ibadat korban pada bulan Zulhijjah?


Jawapan Ringkas :


- Hadith yang menyebut tentang larangan memotong kuku dan bercukur/potong rambut bagi orang yang hendak melakukan ibadat korban adalah SAHIH. Larangan ini bermula apabila masuknya 1 Zulhijjah, dan berakhir selepas selesai ibadat korban.

إِذَا رَأَيْتُمْ هِلَالَ ذِي الْحِجَّةِ ،
 وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ ،
 فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ.
 رواه مسلم

Maksudnya : “Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah (apabila masuk bulan Zulhijjah), dan kamu mahu melakukan ibadah korban, maka tahanlah diri daripada memotong rambut dan kuku.”
(Direkodkan oleh Imam Muslim)
 
- Para ulama'  berselisih pendapat, apakah hukum larangan itu :

1. Makruh (Mazhab Syafi'i dan salah satu riwayat dari Imam Malik)
2. Haram (Mazhab Ahmad)
3. Tidak makruh dan tidak haram. (Mazhab Abu Hanifah dan salah satu riwayat dari Imam Malik)

- Sebaiknya kita ikut zahir hadith, jangan potong bagi orang yang hendak melakukan ibadat korban. Itulah pandangan yang rajih (paling tepat) kerana hadith yang sahih jelas melarang. Pasti ada hikmah di sebalik larangan Nabi Muhammad s.a.w. walaupun kita tidak mengetahui sebabnya. 

Walau bagaimanapun makruh ataupun haram ini tidak termasuk ahli keluarga yang diniatkan korban itu. Hanya ketua keluarga sahaja tidak boleh memotongnya. Jika isteri memberikan sumbangan sebahagian daripada harga seekor kambing kepada suami supaya mereka sekeluarga dapat melaksanakan ibadah koban, kemudiannya suami melaksanakan ibadah korban untuk mereka sekeluarga,  larangan ini juga hanya dikenakan ke atas suami.

- Itupun jika terdesak, kata Syeikh Ibn Uthaimeen, seperti cedera, kuku tersopek dan sebagainya, tidaklah haram memotongnya.

- Begitu juga, menurut Syeikh Ibn Uthaimeen, bagi orang yang baru timbul niat hendak berkorban pada 5 Zulhijah misalnya, tiada masalah jika kuku dipotong sebelum itu, cuma jangan potong bermula 5 Zulhijjah itu.

- Menurut Syeikh Ibn Uthaimeen, jika potong sekalipun, ia tidak menjejaskan ibadat korban, tidaklah bermakna  korban tidak diterima. Cuma sesiapa yang potong tanpa ada keuzuran, dia mengingkari perintah Nabi Muhammad saw. 


والله أعلم



Soalan Kedua :

Benarkah sunat berpuasa pada 1-9 Zulhijjah?

Jawapan Ringkas : 

- 10 hari awal Zulhijjah tersebut memang ada kelebihan, berdasarkan ayat al-Quran dan hadith nabi saw.

Berdasarkan hadith sahih riwayat Ibn 'Abbas (Sahih Bukhari-Kitab al-'Iidain), maka dianjurkan meningkatkan amalan pada 1-9, memandangkan 10 Zulhijjah adalah hari raya korban.

- Anjuran membanyakkan amalan itu termasuklah berpuasa sunat dan qiyamullail. Namun ia bukanlah puasa sunat yang dianjurkan secara khusus seperti puasa sunat Isnin-Khamis, ataupun puasa sunat hari Asyura'. 

- Para ulama' juga mengatakan tidaklah sama qiyam pada malam-malam 10 awal Zulhijjah dgn 10 terakhir Ramadan/malam Lailatul Qadr. Kerana Lailatul Qadr itu lebih besar kedudukannya. 

- Namun besarnya kelebihan 10 awal Zulhijjah ini, sehingga Syeikhul Islam Ibn Taymiyyah mengatakan 10 awal zulhijjah fadilatnya pada waktu siang, manakala 10 malam terakhir Ramadan fadilatnya pada waktu malam, kerana terdapat Lailatul Qadar.

- Jika ingin berpuasa 1-9 Zulhijjah, maka niat puasa sunat umum bagi selain daripada hari Isnin, Khamis dan hari Arafah (9 Zulhijjah).

Maksudnya, hari-hari puasa sunat khusus itu kita niat sebagai puasa sunat hari Isnin, Khamis dan sunat Hari Arafah. 

Yang selebihnya jika ingin berpuasa, maka niat berpuasa sunat umum sahaja. 

Sebelah malamnya pula, eloklah kita melakukan qiyamullail.

والله أعلم



Soalan Ketiga :

Bolehkah saya buatkan ibadat korban untuk ahli keluarga saya yang sudah meninggal dunia?

Jawapan Ringkas :

Ada dua perkara yg berbeza dalam hal ini.

1. Buatkan korban bagi pihak si mati. (Seperti buatkan ibadat haji bagi pihak si mati).

2. Kita yang hidup buat ibadat korban, tetapi niatkan pahala itu untuk ahli keluarga yang masih hidup dan yang sudah meninggal dunia.

Bagi bentuk yang pertama, jikalau dibuat juga oleh warisnya yg masih hidup, Mazhab Syafii mengatakan tidak sah, kecuali jika si mati pernah berwasiat menyuruh demikian. Ini bermakna, ahli keluarga menunaikan wasiat si mati dengan harta yang ditinggalkannya, bukan membuatkan korban untuk si mati sebagaimana soalan di atas. Mazhab Maliki pula mengatakan makruh melakukan ibadah korban untuk simati. 

Bentuk kedua lebih menepati sunnah, iaitu tidak perlu dikhususkan korban untuk simati. Juga lebih selamat dari segi menjaga keihklasan niat.
.
Buat korban satu, niat untuk ahli keluarga sekali, termasuklah yang masih hidup dan yang sudah meninggal dunia. Seperti yang disebut dalam hadith, nabi saw berkorban dengan lafaz :

" بِاسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ " 

"Bismillah. Ya Allah, terimalah ibadah korban ini daripada Muhammad, dari keluarga. Muhammad dan dari ummat Muhammad."
Sahih Muslim, Kitab Korban.

Maksudnya, atas satu nama kita yang kita daftarkan ataupun maklumkan kepada pihak pengurusan korban, kita boleh niatkan sekali utk ahli keluarga termasuk si mati. Tidak perlu buat atas dua nama, dan tidak perlu buat bahagian khas untuk ahli keluarga yang sudah meninggal itu. (Sebab ia termasuk dlm bentuk pertama). Pihak pengurusan korban tidak perlu mengetahuinya kerana yang penting ialah niat kita kepada Allah. Kita niat : Bismillah. Ya Allah, terimalah ibadat korban ini dari (nama kita) dan dari (ahli keluarga kita) - termasuk ahli keluarga yang sudah meninggal dunia itu.

Maksud amalan seperti ini ialah seorang sahaja yang memiliki bahagian korban, tetapi pahalanya dikongsi dengan/diperolehi juga oleh ahli keluarga yang layak (ataupun sesiapa yang dikehendakinya), walau berapa pun jumlah bilangan mereka, yang masih hidup dan yang sudah meninggal. Namun ia bukan bermaksud satu bahagian korban itu dimiliki oleh 2, 3, atau 10 nama ahli keluarga (misalnya). 

Jikalau hendak lebihkan pahala dan kita pula memang berkemampuan, bolehlah ambil lebih bahagian, namun tetap atas satu nama kita ataupun nama ahli keluarga yang masih hidup.

Ibadah korban berbeza dengan ibadah haji. Hukum sunat muakkad berkorban itu dikenakan ke atas orang yang masih hidup, bukan yang sudah meninggal dunia. Gantikan hasrat untuk buatkan ibadah korban kepada si mati dengan 2 perkara yang memang dianjurkan dalam hadith yang sahih iaitu :
a. memohon Allah kurniakan keampunan untuknya 
b. bersedekah dalam bentuk harta untuknya. 

Berdasarkan nas al-Quran dan al-hadith juga, para ulama’ mengatakan bahawa memohon keampunan untuk si mati adalah  lebih utama berbanding bersedekah untuk si mati.

والله أعلم


Bacaan ringkas dan rujukan lanjut :

-Sahih Fiqh Sunnah Jilid 2
-http://www.saaid.net/mktarat/hajj/58.htm
-http://www.islamweb.net/ahajj/index.php?page=ShowFatwa&Option=FatwaId&lang=A&Id=58590
-http://www.islamweb.net/ahajj/index.php?page=ShowFatwa&lang=A&Id=143055&Option=FatwaId
-http://www.islamweb.net/ahajj/index.php?page=ShowFatwa&lang=A&Id=224812&Option=FatwaId



 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons