Wednesday, December 17, 2014

ANAK-ANAK DAN SKRIN


Kita sekarang berada dalam zaman lambakan skrin yang pelbagai. Baik dari segi teknologi yang digunakan, kualiti yang dipaparkan, mahupun dari segi saiz dan harga yang ditawarkan. 

Ada pengguna yang inginkan skrin yang besar-besar buat tontonan seisi keluarga, ataupun buat tontonan pengunjung restorannya. Ada pula pengguna yang inginkan skrin bersaiz kecil, supaya dia boleh menonton bila-bila masa dan di mana sahaja.


Teknologi membawa perubahan dan menyebabkan hidup menjadi lebih pantas. Apabila menyebut tentang teknologi, kita biasanya teringat akan kepintaran manusia. Kita teringat kepada nama-nama tokoh yang mencipta peralatan teknologi itu. Kita terlupa, sebenarnya Allah-lah yang membuka jalan kepintaran itu kepada manusia, sesuai dengan zaman dan kesungguhan mereka. Kita lupa kepada Allah yang mengurniakan akal kepada pencipta peralatan itu.

Kembali kepada perbincangan asal, tentang skrin dan anak-anak.

Skrin membawa banyak manfaat, tetapi bukan sedikit ibubapa yang mengeluh tentang kerenah anak mereka dengan skrin. Ada ibubapa yang sangat kecewa apabila terlihat paparan skrin yang ditonton oleh anak mereka. Ada pula yang menghadapi masalah bagi mendisiplinkan anak kerana gangguan skrin.

Malah ada mangsa yang pernah membuat pengakuan, dia sukar meninggalkan ketagihan skrin. Dia memohon bantuan untuk membebaskan diri daripada ketagihan buruk itu.

Adakalanya, mendengar perkongsian masalah tentang skrin ini boleh menyebabkan kita hampir terduduk. Seperti masalah-masalah sosial lain, penyelesaiannya akan buntu, selagi kita tidak kembali kepada ajaran Tuhan yang mencipta kita.

Saya suka hendak mengemukakan beberapa saranan dalam menghadapi cabaran skrin ini. Barangkali saranan-saranan ini bermanfaat.

1. Biasakan dari kecil memberikan penilaian 

Seawal anak berminat hendak menonton, selalu berikan penilaian kepada setiap perkara yang baik dan tidak baik yang tertera di hadapan skrin. Beritahu kepadanya apa yang boleh dilihat, dan apa yang tidak boleh.

Contohnya, apabila skrin memaparkan anak sembahyang menjadi makmum, mengikut ayahnya sembahyang, kita boleh katakan kepada anak, "Budak itu sangat bagus. Allah suruh sembahyang, dia pun sembahyang. Dia ikut ayahnya sembahyang."

Contoh lain, katakanlah skrin memaparkan iklan syampu. Perempuan di dalam iklan itu terang terangan membuka aurat, dijeling pula oleh seorang lelaki. 

Katakan, "Iklan itu tidak bagus, membuka aurat. Adik, tukarlah channel lain."

Apabila dari kecil dibiasakan begitu, insya Allah, anak akan pandai memilih. Sedarkan dirinya secara praktikal, dia boleh memilih dan bertanggungjawab untuk memilih. Anak banyak belajar dari persekitaran yang dibiasakan kepadanya. Mereka juga banyak meniru contoh daripada orang dewasa di sekelilingnya. Sekiranya orang dewasa menonton secara borong, baik 'yang bagus' dan 'yang tidak bagus' sekaligus, maka anak pun begitulah juga.

Melihat perkara yang tidak senonoh boleh menggelapkan hati. Apabila sudah terbiasa dengan perkara baik, anak akan tahu sendiri perbezaan yang berlaku pada diri mereka sekiranya mereka menonton perkara yang 'tidak bagus'. Dia juga akan mudah membetulkan kesilapannya dalam hal ini apabila ditegur, sebab dia tahu kesilapannya.

Jika sudah terbiasa dengan melihat perkara tidak baik, agak sukar kita hendak mengubah kebiasaan itu. Nanti kita yang menegur pula dianggap sebagai luarbiasa.

2. Selalu sebut bahawa Allah Maha Tahu, Allah Maha Melihat

Allah itu sifatnya Maha Mengetahui. Allah tahu apa sahaja yang tersembunyi dalam hati kita, apatah lagi perbuatan yang kita lakukan, walaupun secara sembunyi-sembunyi.

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya dan Dia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dn Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
Surah Ali Imran, ayat 29.

Allah itu sifatnya Maha Melihat. Dia sentiasa melihat apa yang kita lakukan. Dia nampak apa yang manusia tidak nampak. Kita boleh menyembunyikan sesuatu daripada manusia, tetapi tidak daripada Allah.

3. Hadkan bilangan 'skrin' di rumah dan selalu memantau skrin-skrin yang ada

Barangkali bagi sesetengah keluarga, perkara ini agak sukar dilakukan. Malah mungkin dianggap tidak perlu. Ada ibubapa yang menganggap begini, "Jika anak-anak tidak menontonnya di rumah, mereka tetap menontonnya di tempat lain. Kita tidak dapat mengawal mereka seratus peratus!"

Memang betul, kita tidak dapat mengawal semua perkara. Kita hanya dapat mengawal apa yang ada dalam tanggungjawab kita. Kita pun hanya akan ditanya tentang apa yang ada di bawah tanggungjawab kita.

Pendidikan bermula dari rumah. Mewujudkan persekitaran yang baik, jauh dari dosa dan noda adalah tanggungjawab ibubapa yang akan dipersoalkan kelak. 

4. Hadkan masa menonton dan jenis hiburan di rumah

Kita perlu berhibur. Apatah lagi di kalangan anak-anak.

Hiburan sama seperti makanan. Makanan haram banyak, tetapi makanan halal yang enak-enak lebih banyak. Mengapa hendak memilih yang haram?

Terlalu banyak makan boleh merosakkan diri kita. Begitu juga apabila terlalu banyak hiburan. 

Saya amat tidak bersetuju dengan pendekatan memasang skrin hampir 24 jam untuk meralitkan anak-anak. Kecuali skrin yang kita sendiri mengawal isi kandungannya,  walaupun itu pun tidak berapa baik juga untuk diamalkan.

Disiplin yang telah kita terapkan semasa menonton skrin besar tontonan seisi keluarga, akan memudahkan kita memantau apabila anak memiliki skrin-skrin kecil milik peribadi mereka.

5. Sibukkan dengan perkara yang lebih penting dan lebih bermanfaat

Saranan kelima ini memerlukan perancangan, keterlibatan dan peruntukan masa ibubapa. Para pembaca tentu mempunyai pilihan sendiri berdasarkan minat dan keutamaan. 

Libatkan anak-anak bersama membersihkan rumah, menjaga adik, memasak, memberi khidmat masyarakat, bersukan, menikmati keindahan flora dan fauna, membantu ibubapa membeli barangan keperluan, menziarahi saudara mara dan ikut bersama sembahyang berjemaah di masjid. 

Sebahagian besar aktiviti itu boleh dijadikan aktiviti harian, tidak perlu menunggu cuti persekolahan yang panjang. 

Menghayati suruhan Allah dan Rasul-Nya dalam keluarga

Saranan-saranan tersebut diharapkan dapat membantu kita menghayati suruhan dan larangan dalam al-Quran dan hadith.

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka..."
Surah al-Nur, ayat 30-31. 

Jarir bin Abdullah r.a. melaporkan, katanya, "Saya bertanya kepada Utusan Allah saw. tentang terpandang perkara yang diharamkan secara tidak sengaja. 

Jawab beliau saw, "Alihkan pandangan saudara!"

Sunan Abi Daud, Kitab Perkahwinan, Bab Perintah Supaya Menahan Pandangan.

Kita ingin menerapkan ajaran itu dalam kehidupan seharian, baik sendirian mahupun berkeluarga. Menghayati pengajaran hadith dalam kehidupan adalah tanda cinta Rasul yang paling utama. Cinta Rasul bukan slogan, dan adalah tidak wajar dinyatakan dalam bentuk perarakan, sebaliknya kita nyatakan dengan mengamalkan apa yang baginda ajarkan.

Yang penting ialah menguruskannya

Skrin tidak pernah bersalah, dan skrin tidak akan dipersalahkan pada hari manusia berdiri menunggu perbicaraan terakhir kelak. 

Yang bersalah ialah manusia yang membuat pengisian skrin, dan manusia yang mampu memilih apa yang ditatapnya pada skrin.

Itulah yang perlu diingatkan kepada anak-anak kita, dan menjadi peringatan buat diri kita sendiri.


Ditulis di rumah kecil :
Rabu, 16 Januari 2013

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons