Wednesday, May 11, 2011

'PERALATAN PERKAHWINAN'

Mata saya terpaku pada papan tanda kedai yang tertulis 'Kedai Peralatan Perkahwinan.'

Seperti biasa, soalan mula menerjah ke kotak fikiran saya.




"Adakah benar perkahwinan memerlukan peralatan itu?"

Kedai seumpama itu tumbuh dengan pesat di bandar-bandar utama. Memang menjadi lokasi tumpuan menjelang musim perkahwinan, membuat keuntungan berganda-ganda, walaupun tidak ada satu pun 'peralatan perkahwinan' dalam kedai itu ada sangkut pautnya dengan majlis walimah yang asal dalam Islam.

Baik bakal pengantin mahupun ahli keluarga, mereka ditekan oleh frasa 'nanti apa kata tetamu dan sanak saudara,' menyebabkan ada kalanya mereka mengabaikan perkara-perkara yang lebih penting, dan mengeluarkan belanja lebih daripada yang sepatutnya. Itulah yang saya simpulkan daripada keluhan dan aduan yang pernah diterima, rata-rata daripada golongan yang kurang berkemampuan.

Tidak kurang yang mengadu, banyaknya kes 'bermasam muka' di kalangan saudara mara disebabkan oleh 'peralatan perkahwinan' itu.

Baik kerana tidak cukup, tidak lengkap, ataupun tidak sepakat memilih.

Majlis-majlis perkahwinan yang sepatutnya ceria dan penuh kesyukuran seringkali disulami dengan kata-kata yang tidak perlu, berkisar tentang peralatan-peralatan yang tidak berapa perlu.

Elok juga barangkali kepada mereka yang mampu, membuka ala-ala 'Kedai Persediaan Perkahwinan' yang lebih tepat konsepnya, biarpun 'kedai alam maya', supaya boleh dikunjungi oleh anak muda yang bakal memasuki alam rumahtangga.

Yang penting 'kedai' itu menyediakan 'peralatan yang benar-benar diperlukan.'


Menyedarkan bakal mempelai baru, dan juga mengingatkan 'mempelai lama', bahawa rumahtangga itu adalah salah satu medan perjuangan untuk membuat pahala, meningkatkan amal soleh dan membuat bekal hidup yang sebentar.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons