Tuesday, June 22, 2010

HARGA SEBELAH MATA


Seketika, semalam, nikmat dapat melihat dengan sempurna ditarik sebentar.




Penat yang memanjang, bermusafir dan bercuti, mendengar amanat, menziarahi guru dan berkhidmat untuk ibubapa dan keluarga, kemudian bermusafir lagi merentasi desa orang Asli, ke Perlok. Semalam adalah noktah kecil untuk 2 minggu berturut-turut. Petangnya, saya masuk ke dapur menyiapkan kari udang dan ayam goreng, setelah hampir 3 minggu dapur tidak berasap dengan juadah berat. Malamnya, sebaik sahaja Miqdad tidur, saya duduk melepaskan lelah.

Sedar-sedar, lebih kurang 10 minit kemudian. Rupa-rupanya saya terlelap. Tidur yang tidak sempurna, tanpa doa dan tanpa persediaan. Sebelah mata saya terasa terbenam jauh ke dalam. Berpinar-pinar.

Saya berjalan ke dapur dengan resah. Langkah bagaikan terhuyung hayang, kerana penglihatan saya tidak seimbang. Apa yang menekan mata selama 10 minit tadi? Barangkali jari tangan saya sendiri.

Ya Allah. Baru saya tahu nilainya sebelah mata. Yang ditarik sekejap itu bukan penglihatan seluruhnya, tetapi sedikit keseimbangan dan fokus.

Dalam masa satu jam kemudian, saya gelisah, tidak dapat melelapkan mata. Cuba menenangkan hati, menerima ketentuan, dan berdoa agar situasi itu tidak terus berlarutan. 

Saya memandang Miqdad, perasaan saya berbaur, dan kepala terasa pening. Biasanya saya seronok melihat jari jemari kecilnya. Tetapi kali ini sebelah mata saya tidak mampu melakukannya. 

Saya memandang laptop yang masih terbuka. Biasanya jikalau tidak mengantuk ataupun tidak dapat lena, saya mendengar kuliah ataupun membaca. Namun dalam keadaan penglihatan yang tidak seimbang, tidak dapat fokus dengan baik, bagaimana mungkin saya dapat membaca dengan selesa seperti selalu?

Dan semalam juga saya sedar, rupanya ada satu nikmat lagi yang sebelum ini saya nikmati, tetapi tidak saya sedari, ia adalah nikmat kurniaan Tuhan yang tidak ternilai.

Membaca.

Disebabkan oleh penglihatan kita baik, dapat fokus, tidak pening, kita dapat membaca dengan sempurna. Baik buku, laman web, email, surat dan segalanya. Baik untuk mendapat ilmu, menyampaikan ilmu, menenangkan fikiran, berkomunikasi dan sebagainya. Dunia yang sempit menjadi luas. Jarak yang jauh menjadi dekat. Meskipun kita hanya duduk setempat, kita bagaikan berjalan ke serata dunia, merentas 'makan' dan zaman, 'berjumpa' dan 'berbincang' dengan ramai tokoh. Sepasang mata menghamparkan banyak lorong buat kita, agar kita sampai kepada nikmat-nikmat yang lain.

Saya terlelap dalam doa dan muhasabah diri silih berganti.

Pagi ini, alhamdulillah, Tuhan yang mengembalikan semula nyawa saya selepas saya tidur, telah memulihkan pandangan saya.

Kerana pandangan telah pulih, pagi ini saya dapat menatap wajah anak-anak dengan stabil. Dapat melihat ruang dan menganggar jarak dengan baik. Dan paling tidak diduga, dapat pula membaca email suami,  yang mengirimkan lirik 'For The Rest Of My Life.'

Usah bimbang sangat jikalau mata kita sepet ataupun bulat, suram ataupun bercahaya, bulu mata pendek ataupun panjang, kening nipis ataupun lebat, muncul 'eyebag' ataupun garis-garis halus. Hidup ini sebuah  perjuangan, dan perjuangan menuntut kita berpenat lelah dan bersengkang mata. Jikalau kita tidak pernah berjaga malam sekalipun, mata kita adalah sebahagian daripada diri kita, akan mengalami perubahan, selari dengan bertambahnya usia kita.

Bidadari  bermata jeli seumur hidup hanya ada di dalam syurga, itupun hanya untuk orang-orang yang bertaqwa. Calon wanita syurga orangnya bagaimana, bukankah Asiah dan Sumayyah itu wanita cekal pejuang agama?

Berpadalah dengan bentuk mata kurniaan Tuhan, rawatlah sekadarnya mengikut panduan syariat dan kemampuan, bukan nafsu dan ikut-ikutan. Barangkali wang untuk membeli produk kecantikan mata lebih baik kita sedekah-sedekahkan, dan beli tafsir al-Quran.

Yang penting mata kita sihat, supaya dapat kita gunakan untuk membaca dan melihat perkara-perkara yang bermanfaat, lagi halal.

Sementara Tuhan masih pinjamkan nikmat mata itu kepada kita.


اللهم عافني في بدني
اللهم عافني في سمعي
اللهم عافني في بصري


 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons