Soalan :
Adakah saya akan mendapat pahala jika saya membuat majlis maulid di rumah?
Jawapan :
Soalan ini tampak remeh dan kecil namun sebenarnya ia mengundang kontroversi bagi sesetengah orang.
Salah faham dalam persoalan ini sangat besar, sehinggakan ada orang Melayu membawa bunga telur dan telur-telur yang sudah direbus dari Malaysia, semata-mata kerana hendak menyambut maulid di Tanah Suci!
Ramai sebenarnya tidak jelas tentang asal-usul maulid malah tidak tahu apa makna perkataan maulid itu.
🔴A. Tiada Amalan Sambut Hari Jadi
Menyambut maulid maksudnya menyambut hari jadi.
Tidak pernah disyariatkan menyambut hari jadi Nabi Muhammad saw.
Tiada perintah Allah swt menyuruh menyambut hari jadi Nabi Muhammad saw. Tiada perintah Nabi Muhammad saw dalam hadith yang menyuruh umatnya memperingati tarikh kelahirannya.
Oleh itu, tiada seorang pun para sahabat baginda saw yang menyambutnya.
Semua hadith yang menyebut tentang maulid adalah hadith PALSU, yang muncul berdekad lamanya selepas kematian para sahabat.
🔴B. Tarikh 12 Rabi’ al-Awwal Adalah Tarikh Wafat
Nabi Muhammad saw memberitahu kita dalam hadith yang sahih bahawa baginda saw lahir pada hari Isnin.
عن أبي قتادة الأنصاري رضي الله عنه قال: سُئِلَ صلى الله عليه وسلم عَنْ صَوْمِ يَوْمِ الِاثْنَيْنِ ؟ قَالَ: ذَاكَ يَوْمٌ وُلِدْتُ فِيهِ، وَيَوْمٌ بُعِثْتُ - أَوْ أُنْزِلَ عَلَيَّ فِيهِ -. رواه مسلم
Abu Qatadah al-Ansari r.a. melaporkan, Nabi Muhammad ditanya tentang puasa hari isnin. Jawab baginda saw, “Itulah hari saya dilahirkan, hari saya diutuskan (dilantik menjadi rasul) atau hari diturunkan wahyu (pertama) kepada saya.”
Hadith direkodkan oleh Imam Muslim.
Namun dari sudut tarikh, tarikh kelahiran Nabi Muhammad saw sebenarnya tidak disepakati oleh ahli sejarah. Ada yang mengatakan baginda saw lahir pada 8 haribulan, ada yang mengatakan 9 haribulan, ada yang mengatakan 10 haribulan dan ada yang mengatakan 12 haribulan.
Menurut kajian ahli falak, hari Isnin hanya jatuh pada 9 Rabi’ al-Awwal, tidak jatuh pada 12 Rabi’ al-Awwal. Kajian ini diterima dengan senang hati oleh para ulama’ kemudian, kerana ia adalah kajian ilmiah.
Maka kita pun menerima tarikh kelahiran baginda hari isnin, jatuh pada 9 haribulan Rabi’ al-Awwal Tahun Gajah, bersamaan dengan 20@22 April tahun 571M.
Oleh kerana acara menyambut hari jadi Nabi Muhammad saw itu tiada dalam syariat Islam, tiada sesiapa yang menyambut maulid di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, sedangkan 2 masjid itu adalah masjid paling utama dalam Islam. Tiada sesiapapun di kalangan imam-imam utama seperti Imam Syafi’i, Imam Ahmad, Imam Bukhari, Imam Muslim dan sebagainya menyambut ataupun membesarkan hari itu.
🔴C. Punca Amalan
Mengapa pula ada di kalangan umat Islam menyambutnya, malah menganggapnya sebagai satu perayaan? Malah sampai ada pula yang menyambut maulid harian dan maulid mingguan?
Ada pelbagai versi yang menjelaskan latar belakang siapa yang mula-mula membuat sambutan yang asalnya tidak ada dalam syariat Islam ini. Yang pasti ia berasal daripada keinginan untuk meniru sambutan dalam agama lain.
Sebagai contoh, Kristian menyambut hari lahir Jesus pada 25 Disember. Itupun sebenarnya tidak tepat, kerana bukan semua orang Kristian merayakan tarikh tersebut. Mengikut kajian sejarah, 25 Disember itu sebenarnya adalah tarikh yang didakwa sebagai tarikh lahir ‘Mithra’, Tuhan Matahari yang dipercayai dalam agama Mithraism, agama dianuti oleh orang-orang Rom ketika itu. Apabila pendakyah Kristian berdakwah di sana, tarikh 25 Disember itu ditukar menjadi tarikh lahir Nabi Isa, supaya penganut Mithraism mudah menerima agama Kristian.
Selain daripada faktor meniru, kelebihan maulid nabi rupa-rupanya banyak disebut dalam hadith-hadith palsu, yang mendakwa orang yang menyambutnya akan memperolehi pelbagai ganjaran. Malah semua kelebihan maulid datang daripada hadith palsu.
Antara pembohongan yang dibuat dalam hadith-hadith palsu ini ialah kononnya sesiapa yang menyambut maulid di rumah akan dipelihara daripada kemarau, bala, hasad dan sebagainya, malah jika mati nanti dapat menjawab soalan Munkar dan Nakir!
Daripada hadith-hadith palsu inilah segelintir umat Islam mula menyambutnya, bahkan kerana dasyatnya bunyi hadith palsu itu, sebahagian mereka menyangka tidak kuatlah Islam seseorang jika tidak menyambut hari jadi Nabi Muhammad saw. Malah lebih dasyat lagi apabila mereka menuduh sesiapa yang tidak menyambutnya adalah orang yang tidak sayang kepada Nabi Muhammad saw.
Inilah hikmah besar mengapa Nabi Muhammad saw melarang berbohong atas nama baginda saw.
Hadith palsu menyebabkan orang salah sangka terhadap ajaran Nabi Muhammad saw dan salah sangka terhadap agama Islam. Ia juga menyebabkan umat Islam yang percaya kepada hadith palsu itu meninggalkan amalan yang lebih utama dan lebih penting.
Ada juga orang Melayu yang menuduh Masjidul Haram dan Masjid Nabawi adalah tempat wahabi, malah menggelar imam-imamnya sebagai wahabi, kerana mereka tidak menyambut hari jadi Nabi Muhammad saw. Padahal tempat-tempat pengajian di sana berusaha meneruskan ajaran Nabi Muhammad saw yang asal, mereka mengamalkan apa yang sahih dan meninggalkan hadith-hadith palsu. Mereka meninggalkan amalan yang datang daripada pendustaan atas nama Nabi Muhammad saw.
Mustahil orang yang sayang kepada Nabi Muhammad sanggup berdusta atas nama baginda saw dan sanggup menjadikan pendustaan atas nama baginda saw sebagai amalannya.
Orang yang sayang kepada Nabi Muhammad saw akan membaca al-Quran tinggalan Nabi Muhammad saw setiap hari. Bukan sahaja membaca tetapi menghayati maknanya dan mengambil panduannya.
Orang yang sayang kepada Nabi Muhammad saw mengambil berat tentang ajaran dan larangan baginda saw. Mempelajari hadith-hadith baginda dengan jujur dan ikhlas. Tidak berdusta atas nama baginda saw.
🔴 D. Banyak Majlis Lain Boleh Dibuat Di Rumah
Asal usul sesuatu amalan dalam masyarakat membantu kita untuk membuat keputusan untuk diri kita sendiri dan juga untuk keluarga kita. Apabila maulid bukan berasal daripada syariat Islam, itu bermakna kita perlu melakukan sesuatu yang lebih penting daripada itu. Elakkan menamakan majlis sebagai majlis maulid, kerana ia telah menyebarkan banyak salah faham.
Asas majlis di rumah biasanya tidak sunyi daripada 2 perkongsian semasa berkumpul. Pertama perkongsian jamuan makan minum dan kedua perkongsian ilmu dan maklumat. (Ilmu dan maklumat berbeza, akan dikongsikan nanti dalam tulisan yang lain).
Dua jamuan utama yang merupakan sunnah untuk dilaksanakan ialah Majlis Walimah (kesyukuran perkahwinan) dan juga Majlis Aqiqah (kesyukuran sempena kelahiran bayi, bukan majlis cukur jambul).
Rumah boleh dibuat majlis jamuan kesyukuran sambil diisi dengan majlis ilmu. Pastikan ilmu yang dikongsikan dalam majlis itu ilmu yang sahih, tidak mengandungi perkara khurafat dan hadith-hadith palsu.
Jika puan mahu meriahkan rumah dengan ayat al-Quran, puan boleh anjurkan majlis ilmu tadabbur surah-surah terpilih. Pastikan penyampai ada kelayakan untuk menerangkan tentang ayat-ayat al-Quran.
Ilmu asas seperti kepentingan solat dalam keluarga, balasan syurga dan neraka, pendidikan anak-anak, fiqh wanita dan sebagainya elok juga jika mahu dibuat di rumah. Puan mendapat 2 pahala, pertama pahala jamuan dan kedua saham pahala menyediakan tempat perkongsian ilmu yang sahih.
Pastikan puan berbincang dahulu dengan suami sebagai ketua keluarga, juga ahli keluarga yang lain bagi mendapatkan pandangan dan kerjasama.
🔴 E. Dua Syarat Amalan Diterima
Sebagai seorang muslim-muslimah, apapun yang kita lakukan mesti tidak lepas daripada 2 syarat jika benar-benar kita dambakan pahala daripada Allah swt.
Pertama, ikhlas mentauhidkan Allah.
Ikhlas ialah melakukan sesuatu ataupun meninggalkan sesuatu kerana hendak mematuhi perintah Allah.
Kita menganjurkan majlis kerana hendak mematuhi perintah Allah. Kita hendak memberi makan sebagaimana yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad saw, dan hendak menyatakan kesyukuran kita kepada Allah dengan bersedekah dan berkongsi rezeki. Kita juga hendak memberi peringatan kepada sahabat handai dengan cara menjemput mereka ke majlis ilmu di rumah kita.
Kedua, menepati al-sunnah.
Maksudnya, menepati syariat ataupun ajaran Nabi Muhammad saw.
Dalam menganjurkan majlis, kita perlu menepati ajaran Nabi Muhammad saw. Tiada unsur mensyirikkan Allah, tiada perkara yang berkaitan dengan pendustaan atas nama Nabi Muhammad saw dan tiada maksiat di dalamnya.
Majlis yang menepati 2 syarat ini akan mendapat barakah dan rahmat Allah, iaitu limpahan kebaikan dan kasihan belas Allah. Keberkatan biasanya akan menghasilkan kebaikan yang lain pula. Dengan kata lain, amalan yang menepati 2 syarat ini akan mendatangkan kebaikan berganda dan berterusan, walaupun ia adalah amalan yang kecil sahaja.
Kita meyakini bahawa meninggalkan hadith palsu dan meninggalkan amalan yang datang daripada hadith palsu tidak akan merugikan Islam dan umatnya walau sedikitpun, malah membawa kebaikan yang banyak.
Tukarkan hafazan ‘qiraah maulid’ kepada zikir dan doa-doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw yang sangat banyak untuk diamalkan dan dihayati. Malahan ia mengandungi ilmu dan falsafah tentang kehidupan, kerana ia datang daripada wahyu.
Tukarkan cara meluahkan cinta melalui wadah yang tidak ada dalam syariat kepada cintakan hadith-hadith yang sahih dan penyucian jiwa menurut al-Quran.
Islam agama sempurna, datang daripada Allah Yang Maha Mengetahui akan keperluan kita.
والله الموفق
اللهم آت نفسي تقواها
وزكها أنت خير من زكاها
أنت وليها ومولاها.
https://ar.wikipedia.org/wiki/مثرا