Wednesday, September 14, 2022

HADITH PALSU - KONONNYA SIAL RABU TERAKHIR BULAN SAFAR

Assalamualaikum.


Soalan :


Adakah benar hari Rabu terakhir dalam bulan Safar membawa malang dan waba’? Benarkah perlu beramal dengan amalan yang tertentu untuk mengelakkannya? Dikatakan amalan-amalan tersebut adalah amalan awliya’ ataupun wali-wali.



Jawapan : 



Cara termudah menyebarkan kepercayaan dan amalan yang tiada asal dan karut marut ialah dengan menyandarkannya kepada wali-wali, setelah gagal menyandarkannya kepada ‘nabi.’ Padahal wali tertinggi ialah Nabi Muhammad saw.


Kepercayaan bahawa hari Rabu terakhir bulan Safar membawa sial adalah gabungan saki baki kepercayaan orang Arab jahiliyyah, kepercayaan para penyembah api (Majusi) idi Parsi dan juga hadith-hadith palsu tentang hari Rabu dan bulan Safar.


Kita umat Islam telah diajarkan oleh Nabi Muhammad saw ajaran akidah yang murni, dilarang mempercayai sebarang sial pada tempat, orang mahupun masa, sama ada dalam bentuk hari ataupun bulan.


Larangan ini jelas terdapat dalam hadith :


لَا هَامَةَ وَلَا صَفَرَ


Maksudnya : Tiada sial pada burung dan tiada sial pada bulan Safar.


Situasi menjadi parah apabila golongan sufi, para penceramah dan penulis yang menempelkan nas-nas agama pada kepercayaan jahiliyyah ini. Disebarkan hadith-hadith daif dan palsu, dihuraikan ayat al-Quran secara salah, malah direka amalan tertentu dan dibaca ayat-ayat tertentu kononnya untuk menolak sial Safar ataupun Rabu terakhir bulan Safar itu.


Mereka percaya kononnya Rabu terakhir dalam bulan Safar itu membawa 1001 bala dan waba’ tanpa ada dalil daripada al-Quran dan hadith yang thabit, tetapi berdalilkan hadith palsu, antaranya konon disabdakan :


آخر  أربعاء في الشهر يوم نحس مستمر


Inilah hikmah mengapa berdusta di atas nama Nabi Muhammad saw adalah dosa besar diancam neraka, kerana kehadiran hadith palsu boleh merosakkan akidah, syariat dan akhlak umat Islam.



Cukuplah kita mematuhi perintah dan larangan dalam al-Quran dan hadith-hadith sahih setiap hari, seperti melarang anak bermain pada waktu senja, menutup bekas makanan dan minuman setiap malam, termasuklah menghayati zikir pagi dan petang seperti koleksi di bawah ini, yang terlalu banyak faedahnya dan begitu mendalam maknanya. Amalan-amalan ini disarankan kepada kita tanpa dikaitkan dengan mana-mana hari ataupun mana-mana bulan.




والله الموفق


DNH

Rabu

17 Safar 1444H

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons