Sunday, April 26, 2020

Tuesday, April 14, 2020

🌍Countdown To Ramadhan 1441H



Assalamualaikum.

Pada saat seluruh dunia diancam dengan waba’, jiwa insan menjadi tidak keruan, kehidupan tidak berjalan secara normal, kelemahan insan terserlah dalam tanda-tanda kekuasaan Allah, maka eloklah kita kembali kepada panduan hidup yang Allah turunkan kepada kita.

Monday, April 13, 2020

BERTAQWA DALAM MENYEBARKAN ‘ISU SEMASA’ !

Assalamualaikum.

Semoga kita semua masih komited dengan zikir pagi dan petang yang datang daripada hadith-hadith yang thabit. Kita sebagai hamba Allah memang sangat memerlukannya.


Pagi tadi whatsapp dibuka dengan tujuan masuk ke beberapa group dan berkongsi sesuatu. Tiba-tiba terbaca sepintas lalu satu perkataan negatif ‘berimpak tinggi’ dari group yang sudah lama tidak diacuhkan. Jarang menjenguk kerana dalam group tersebut selalu dihantar berita yang tidak pasti yang menyerabutkan, bercampur baur antara sikap yang benar dan salah dalam politik, dan acap juga dihantar tazkirah yang mengandungi hadith-hadith palsu. 

Namun perasaan ingin tahu mendorong kita masuk dan baca juga selanjutnya. 

Kesannya?

Kesan negatif selepas membaca membawa kepada perasaan tidak enak sepanjang hari. Malah mengganggu perancangan asal awal pagi tadi!

Pengajaran :

  1. Kita perlu tegas dengan to-do-list bila berurusan online ataupun offline.
  2. Jika semua muslim-muslimah komited ‘post’ perkara positif (al-amr bi al-ma’ruf wa al-nahy ‘an al-munkar dengan niat yang benar dan piawaian benar, bukan sentimen), semua pembaca akan mendapat input yang baik. 
  3. Teguran yang baik dengan hujah bagus dan berfakta umumnya diterima dengan baik kerana setiap muslim dan muslimah sukakan peringatan, melainkan orang yang ada kepentingan, memang tidak dapat menerima teguran. Namun kritikan bercampur baur antara benar dan salah serta tuduhan secara telahan dan sangkaan akan menimbulkan perasaan bercelaru dan cuak. 
  4. Musim Covid -19 ini semua kita berada dalam kesusahan. Ingatlah bahawa kita semua ini hamba-hamba Allah walau apapun kedudukan kita, maka berhentilah menyebarkan perkara telahan dan tuduhan yang tidak berasaskan fakta kepada hamba-hamba Allah yang lain.
  5. Ingatlah kepada Allah, ingatlah kepada kiamat kecil yang boleh datang kepada sesiapa sahaja pada bila-bila masa, atas sebab apa sahaja.  Dan ingatlah bahawa kebaikan tidak mungkin dilakukan oleh pihak kita sahaja, tetapi dilakukan juga oleh orang lain.
  6. Ramai kenalan yang keberatan menjadi pendokong kepada mana-mana pertubuhan besar yang selalu berebut ahli, berebut populariti malah berebut undi. Menjadi anggota kata mereka, memaksa kita menerima apa sahaja tanpa kecuali dan menolak apa sahaja tanpa kecuali demi ‘kekitaan’, sedangkan al-Quran dan al-Sunnah mengajar kita supaya menapis dengan piawaian yang jauh lebih adil dan konkrit.
  7. Apabila kita menyebarkan sesuatu status yang dikatakan sebagai ‘isu semasa’, perlu diingat bahawa doa orang yang dizalimi itu mustajab, tidak kira mereka di pihak mana. Maka semaklah dulu kebenaran sesuatu isu, jangan didorong sentimen.
  8. Meletakkan piawaian al-Quran dan al-Sunnah sebagai piawaian penilaian menjadikan kita lebih rasional dan bijaksana, kerana Allah swt itu Maha Bijaksana. Apa yang salah pada piawaian itu maka salahlah di sisi Allah dan apa yang menepati piawaian itu maka benarlah di sisi Allah. Kita ada ideal-self yang jelas untuk dicapai.
  9. Ada satu pesanan Nabi Muhammad saw yang sangat tinggi nilainya dalam memandu kita berkomunikasi dan bersosial, namun selalu diabaikan :

 من كان يؤمن بالله واليوم الآخر  فليقل خيرا أو ليصمت.
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, ucaplah perkara-perkara yang baik ataupun diam sahaja.”
(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab.)

Dr Nabilah Hasan
Isnin 19 Syaaban 1441H
اللهم إنا نعوذ بك من سيء الأسقام



Sunday, April 05, 2020

🔴Persoalan Tentang Puasa Sunat Dalam Bulan Syaaban

📌 Soalan :

Adakah kita disunatkan berpuasa pada hari 13, 14 dan 15 dalam bulan Syaaban ini?

Adakah sunat berpuasa pada hari Nisfu Syaaban?

📌Jawapan :

◾️ Tidak ada puasa sunat khusus pada hari Nisfu Syaaban. Dakwaan kelebihan tertentu bagi puasa pada hari tersebut datang daripada hadith palsu dan sangat lemah. 

Malah sambutan Nisfu Syaaban dan amalan khusus yang dilakukan baik pada malam ataupun siangnya adalah kerana mempercayai bahawa lailatul qadar berlaku pada malam Nisfu Syaaban, walhal ia bertentangan dengan al-Quran dan hadith-hadith sahih yang menegaskan lailatul qadar berlaku pada 10 terakhir bulan Ramadhan.

◾️Antara puasa yang disunatkan kepada kita ialah puasa Isnin dan Khamis, puasa hari Arafah, puasa hari ‘Asyura’, puasa 6 hari dalam bulan Syawal dan puasa 3 hari dalam sebulan pada SETIAP BULAN (melainkan Ramadhan).

◾️Apabila kita mahu berpuasa sunat 3 hari dalam sebulan, kita boleh pilih mana-mana hari dalam sebulan, seperti dua Isnin dan satu Khamis, namun hari terbaik yang disarankan oleh Nabi kita Nabi Muhammad s.a.w. ialah hari-hari putih, iaitu pada hari bulan mengambang cerah bertarikh 13, 14 dan 15 setiap bulan (Islam).

Dalam bahasa Arab hari-hari ini dinamakan sebagai Ayyam al-Bidh. (أيام البيض)

◾️Dalil puasa sunat 3 hari dalam sebulan, dan 3 hari yang terbaik itu ialah pada hari-hari putih, ialah hadith-hadith berikut :

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. kepada Abdullah bin ’Amr r.a. dalam sebahagian daripada hadith yang panjang :

وصم من الشهر ثلاثة أيام، فإن الحسنة بعشر أمثالها، وذلك مثل صيام الدهر.

Maksudnya :
“Puasalah 3 hari dalam sebulan, kerana setiap satu amalan kebaikan diganjari 10, maka (apabila kamu berpuasa 3 hari dalam sebulan), itu menyamai puasa sepanjang masa.”

(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Sawm, Bab Sawm al-Dahr, hlm 697.)

Sabda  Nabi Muhammad s.a.w. kepada Abu Dhar r.a. :

يا أبا ذر اذا صمت شيئا من الشهر فصم ثلاث عشرة وأربع عشرة وخمس عشرة.

Maksudnya :
“Wahai Abu Dhar, apabila kamu berpuasa 3 hari dalam sebulan, puasalah pada 13, 14 dan 15 haribulan.”

(Sunan al-Tirmidhi, Kitab al-Sawm, Bab Puasa 3 Hari Dalam Sebulan)
Hadith hasan sahih.

◾️ Bagi mereka yang sudah melazimi puasa setiap Isnin dan Khamis,elok tambahkan lagi puasa pada 13, 14 dan 15 Syaaban sekiranya mampu kerana Nabi Muhammad saw membanyakkan puasa sunat dalam bulan Syaaban. 

والله الموفق
11 Syaaban 1441 H
5 April 2020

اللهم إنا نعوذ بك من سيء الأسقام


 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons