Assalamualaikum Ustazah.
Jika seseorang bernazar hendak sembelih lembu apabila mendapat pekerjaan yang dimohonnya, bolehkah lembu yang disembelih itu diniatkan sekali dengan aqiqah anak?
Waalaikumussalam.
Nazar dan aqiqah adalah dua perkara yang berbeza dan hukumnya juga berbeza.
NAZAR
Nazar bukan sekadar niat, tetapi nazar ialah mewajibkan diri untuk melakukan ketaatan yang tidak wajib ke atasnya, untuk mendapatkan sesuatu, dengan menyebut lafaz yang menggambarkannya.
A dikira bernazar apabila dia menyebut atau melafazkan, “Kalau saya mendapat pekerjaan itu, saya akan sembelih seekor lembu.”
A tidak dikira bernazar jika hanya terlintas di hatinya, jikalau mendapat pekerjaan tersebut, dia berhajat hendak menyembelih seekor lembu.
Menyembelih haiwan adalah suatu bentuk ibadah yang mesti dilakukan hanya kerana Allah. Maksudnya, A sudah bernazar hendak melakukan ketaatan yang tidak diwajibkan ke atasnya.
Nazar hukumnya makruh, kerana ia umpama mahu membuat tukaran dengan Allah swt yang Maha Memberi Rezeki.
AQIQAH
Aqiqah pula hukumnya sunat. Aqiqah adalah lambang kesyukuran apabila dikurniakan cahayamata.
RINGKASAN JAWAPAN :
Oleh kerana keduanya berbeza dan hukumnya juga berbeza, maka kedua-dua sembelihan ini mesti dibuat secara berasingan. Dalam istilah fiqh, nazar dan aqiqah kedua-duanya adalah ibadah المقصودة لذاتها.
Umpama solat Subuh dengan solat sunat Subuh, kedua-duanya ibadah berbeza, keduanya perlu dibuat secara berasingan, walaupun keduanya sama dari sudut jumlah rakaatnya.
والله الموفق

Tuesday, June 09, 2026


0 comments:
Post a Comment